Jamawi (tengah) bergambar bersama isteri (belakang, dua dari kiri) dan penyokong pada Penamaan Calon baru-baru ini- gambar Facebook
MELALAP: Calon Perpaduan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap, Jamawi Jaafar menegaskan komitmennya untuk memacu pembangunan menyeluruh di kawasan itu, termasuk menjadikan sektor pertanian sebagai pemacu ekonomi baharu bagi penduduk setempat.
Jamawi, 51, berasal dari Kampung Jawa Melalap, Tenom berkata, Melalap mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai antara kawasan pertumbuhan utama di Sabah sekiranya dibangunkan secara terancang dan inklusif.
“Melalap berpotensi besar untuk muncul sebagai kawasan pertumbuhan baharu di Sabah. Saya berhasrat untuk memajukan sektor pertanian ke arah berpendapatan tinggi serta merancakkan pembangunan agar ekonomi Melalap terus berkembang dan dapat dinikmati seluruh komuniti,” katanya.
Beliau yang berkelulusan Ijazah Sains Pertanian dari Universiti Putra Malaysia pernah berkhidmat sebagai Pegawai Pertanian di Jabatan Pertanian Sabah dari 1996 hingga 2007, sebelum menyandang beberapa jawatan termasuk Pegawai Khas Menteri di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Persekutuan (2008–2015), serta Pegawai Khas Kanan Menteri di Kementerian Komunikasi dan Multimedia (2016–2018).
Dalam bidang politik, Jamawi pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong bagi penggal 2018 hingga 2020.
Menyentuh agenda pembangunan sosial, Jamawi berkata, pendidikan dan peluang pekerjaan untuk golongan muda akan menjadi tumpuan utamanya sekiranya diberi mandat oleh rakyat Melalap.
“Generasi muda juga akan terus menjadi keutamaan. Saya berazam untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan baharu dan mempercepat pembinaan SMK Melalap demi memastikan anak-anak mendapat akses pendidikan yang mampan di tanah sendiri,” katanya.
Selain itu, beliau turut menekankan usaha mengukuhkan sektor ekonomi tempatan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi memperkasa masyarakat setempat.
“Saya akan memberi fokus kepada pengukuhan sektor ekonomi dan SME tempatan, serta memperkasakan golongan wanita agar lebih berdaya saing dan berdikari. Penubuhan Yayasan Melalap akan menjadi pemangkin kepada pembangunan sosial dan kebajikan rakyat Melalap supaya boleh terus berkembang maju ke hadapan,” katanya.
Dengan latar belakang dalam bidang pertanian serta pengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan, Jamawi optimis dapat membawa Melalap ke arah pembangunan yang lebih mapan dan inklusif.




























