Armizan Mohd. Ali
TAWAU: Dakwaan Datuk Seri Bung Moktar Radin bahawa Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah “paling gagal di dunia” disifatkan sebagai tuduhan yang memakan diri sendiri.
Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, kenyataan Bung itu ibarat “meludah ke langit, jatuh ke muka sendiri” kerana hakikatnya Kerajaan Negeri kehilangan dua tahun pertama pentadbiran (2021-2022) akibat terpaksa menerima Ahli Parlimen Kinabatangan itu sebagai Menteri Kerja Raya yang paling gagal dalam sejarah.
Beliau berkata, kegagalan ketara Bung ketika mengetuai Kementerian Kerja Raya (KKR) Sabah dapat dilihat dengan jelas melalui isu air dan elektrik yang membelenggu rakyat ketika tempoh tersebut.
Menurut Armizan, sepanjang dua tahun Bung menerajui kementerian itu, tiada satu pun projek utama penstabilan bekalan air yang mula dilaksanakan.
“Contohnya di Tawau, Projek Pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Cinta Mata 2 hanya dilaksanakan selepas beliau tidak lagi berada di KKR, iaitu bermula 22 Julai 2025 dan dijangka siap pada 22 Julai 2028.
“Begitu juga di kawasan saya di Papar. Projek Naik Taraf LRA Kogopon yang sudah lama dalam perancangan hanya dapat dimulakan pada Ogos 2023, selepas Bung tiada di KKR dan Datuk Shahelmey Yahya mengambil alih sebagai menteri baharu,” katanya dalam satu kenyataan.
Armizan berkata, kedua-dua projek tersebut sudah berada dalam perancangan, justeru tidak wajar Bung menuding jari kepada pihak lain kerana penggantinya terbukti mampu menggerakkannya.
“Kerajaan GRS juga telah merancang satu lagi projek baharu, iaitu Projek LRA Balung II yang dijadual bermula pada 2026,” tambahnya.
Dalam isu elektrik pula, Armizan menjelaskan bahawa kuasa kawal selia elektrik hanya dipindahkan semula kepada Sabah pada 3 Januari 2024, setelah 41 tahun berada di bawah Kerajaan Persekutuan sejak 1983.
Katanya, pembekal tenaga Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) juga masih dipegang secara majoriti oleh Kerajaan Pusat melalui Tenaga Nasional Berhad (TNB), dan adalah tidak wajar segala kelemahan dibebankan ke atas Kerajaan GRS.
“Walaupun elektrik bukan bidang tugas Menteri KKR, Bung sentiasa mahu menunjukkan kuasa, sehingga dua Ketua UMNO Bahagian di Sabah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Sabah Electricity melalui Menteri Tenaga dari UMNO atas cadangan beliau sendiri.
“Persoalannya, apa sumbangan dan pencapaian wakil UMNO dalam Sabah Electricity serta Menteri Tenaga daripada UMNO dalam menyelesaikan isu elektrik ketika itu? Jelas mereka juga gagal,” tegas Armizan.
Beliau berkata, hakikatnya apabila Bung dan UMNO tidak lagi berada dalam Kerajaan Sabah dan kuasa kawal selia elektrik dikembalikan kepada kerajaan negeri, pelbagai projek penstabilan bekalan elektrik mula dilaksanakan.
Antaranya, Projek Rangkaian Grid ke Pantai Timur Southern Link Fasa 1 yang bermula pada 2024.
“Takdir Tuhan menentukan Bung sebagai ‘Menteri Gagal’ keluar daripada Kerajaan Negeri, dan ini membolehkan banyak projek penstabilan bekalan air dan elektrik akhirnya dapat berjalan di Sabah,” katanya.




























