Redonah bersama jenteranya di Kampung Bintasan Laut, Kota Marudu.
BANDAU: Suasana kempen Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 hari ini sekali lagi menonjolkan kekuatan dan kesungguhan wanita dalam politik apabila calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi DUN Bandau, Datuk Redonah Bahanda, terus memperkukuh mesej kestabilan dan pembangunan sebagai teras perjuangannya.
Beliau menyatakan harapan tinggi terhadap semua calon wanita GRS yang bertanding di seluruh negeri.
“Saya mengharapkan calon-calon wanita, khasnya daripada GRS, insya-Allah semua akan menang. Yang paling penting ialah kita mempertahankan Kerajaan GRS,” katanya ketika ditemui bersama jentera kempen di Kampung Bintasan Laut, Kota Marudu.
Redonah menegaskan bahawa kesinambungan Kerajaan GRS amat penting bagi memastikan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) dapat diteruskan dan dipertingkatkan.
Menurutnya, banyak program rakyat, projek infrastruktur dan inisiatif ekonomi sedang berjalan, dan hanya kerajaan yang stabil mampu memastikan manfaatnya sampai kepada seluruh rakyat.
“Pelan-pelan pembangunan Sabah Maju Jaya sudah bergerak. Jika kerajaan ini diteruskan, bukan sahaja dapat diteruskan, tetapi ditambah lebih baik. Sudah semestinya rakyat Sabah yang akan menikmati hasilnya,” ujarnya.
Beliau menekankan bahawa kestabilan politik adalah kunci kepada kemajuan negeri.
“Kita memerlukan kerajaan yang stabil. Sebab itu kita perlu bekerja keras untuk memastikan Kerajaan GRS dipertahankan dan menang dalam PRN Sabah ke-17 ini,” katanya.
Sebagai calon yang dekat dengan masyarakat Bandau, Redonah turut menegaskan komitmennya untuk membawa suara rakyat ke peringkat negeri dan memastikan pembangunan daerah kekal menjadi keutamaan dalam agenda GRS.
“Dengan sokongan rakyat Bandau, kita bukan sahaja mempertahankan kerusi ini, tetapi memastikan masa depan Sabah terus berada di landasan yang kukuh,” katanya.


































