USUKAN: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan, Datuk Japlin Akim menegaskan bahawa penambahbaikan kemudahan asas akan menjadi keutamaan utamanya sekiranya diberikan mandat pada pilihan raya kali ini.
Japlin berkata, selepas kali terakhir berkhidmat sebagai wakil rakyat pada 2020, kepercayaan yang diberikan semula oleh akar umbi untuk mewakili GRS di Usukan merupakan satu amanah besar yang akan dipikul dengan penuh tanggungjawab.
Menurutnya, masih banyak isu asas yang perlu diselesaikan segera, termasuk keadaan jalan kecil di kampung-kampung, keperluan menambah baik bekalan elektrik serta memastikan akses kepada air bersih yang lebih stabil dan menyeluruh.
“Sudah tentulah sebagai wakil rakyat, insya-Allah sekiranya diberi mandat oleh rakyat sekali lagi, inilah impian kita: memastikan usaha membela dan memperbaiki prasarana serta keperluan asas ini dapat dipertingkatkan dari masa ke masa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Japlin turut menegaskan komitmennya untuk terus dekat dengan masyarakat, mendengar keperluan mereka serta memastikan setiap perancangan pembangunan membawa manfaat menyeluruh kepada penduduk Usukan.


































