KOTA KINABALU: Beberapa jalan utama di sekitar Kota Kinabalu akan ditutup dan dilencongkan pada 15 November ini sempena proses penamaan calon Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah ke-17.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda dalam satu kenyataan memaklumkan, langkah itu diambil bagi memastikan kelancaran lalu lintas dan keselamatan awam sepanjang proses penamaan calon berlangsung.
Beliau berkata, penutupan jalan akan bermula pada jam 12.01 tengah malam, 15 November, dan dijangka dibuka semula pada jam 12 tengah hari setelah semua urusan penamaan calon selesai.
Bagi kawasan Dewan Maksak (P.171), laluan dari arah Lampu Isyarat Istiadat ke simpang masuk Dewan Maksak akan ditutup sepenuhnya. Orang awam disarankan menggunakan laluan alternatif melalui Bulatan Golf atau Kompleks Sukan Likas, manakala penduduk Taman Kenari boleh menggunakan Lorong Kenari 1 atau 2 untuk ke kediaman masing-masing.
Selain itu, laluan Jalan Teluk Likas dari arah Jalan Tuaran KK ke Dewan Maksak turut akan ditutup dan Sekatan Jalan Raya (SJR) akan didirikan berhampiran simpang masuk Lorong Burung Kenari 1.
Sementara itu, bagi kawasan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) (P.172), beliau berkata, laluan dari arah Tuaran KK ke susur menuju Jalan Tunku Abdul Rahman akan ditutup. Semua kenderaan akan diarahkan menggunakan flyover menuju ke Lampu Isyarat Kemajuan.
“Laluan dari arah Bandaraya ke Jalan Tunku Abdul Rahman di bawah flyover Karamunsing turut ditutup dengan lencongan ke Jalan Kemajuan.
“Penutupan juga melibatkan laluan dari Bulatan Masjid Negeri ke Lampu Isyarat Karamunsing, di mana kenderaan awam akan dilencongkan melalui Jalan Belia (berhampiran UTC),” katanya.
Selain itu, laluan dari Bulatan Nenas ke susur menuju Lampu Isyarat Karamunsing juga akan dilencongkan ke arah Bulatan Capital.
Polis menasihatkan pengguna jalan raya agar merancang perjalanan lebih awal dan mematuhi arahan anggota bertugas bagi mengelakkan kesesakan serta memastikan proses penamaan calon berjalan lancar.




























