Rossita merakamkan gambar bersama para pelajar antarabangsa yang hadir.
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) mencatat sejarah apabila menerima lebih 850 pelajar mobiliti antarabangsa pada tahun ini, jumlah tertinggi sejak universiti itu ditubuhkan.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, kehadiran pelajar antarabangsa, termasuk pelajar sepenuh masa dan mobiliti, telah memperkayakan komuniti kampus dengan pertukaran budaya, tradisi dan perspektif global.
“Pelajar daripada pelbagai negara membawa pengalaman unik yang membantu memperkukuh persahabatan, persefahaman dan rasa hormat dalam komuniti akademik global,” katanya.
“Perbezaan budaya bukanlah penghalang, sebaliknya ia adalah kekuatan yang menyatukan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis International Night Dinner, di sini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. Rossita Shapawi.
Beliau menambah, sambutan tahun ini turut bertepatan dengan Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin ASEAN, sekali gus mengingatkan kepentingan kerjasama serantau dan hubungan antara masyarakat di negara anggota.
“Kepada pelajar-pelajar dari Indonesia, Thailand, Filipina, Brunei Darussalam dan Timor Leste, kehadiran anda mencerminkan semangat ‘ASEAN Unity in Diversity’.
“Hubungan serantau yang kukuh bermula daripada hubungan antara komuniti, termasuk di kampus,” katanya.
Majlis pada malam itu juga katanya bukan sahaja bertujuan meraikan kepelbagaian budaya tetapi juga menghargai sumbangan pelajar antarabangsa dalam mengukuhkan hubungan pendidikan merentas sempadan.
Pada majlis tersebut, pelbagai acara kebudayaan dipersembahkan oleh pelajar antarabangsa antaranya dari Jepun, China, Indonesia, Pakistan, dan Brunei Darussalam, selain penyampaian sijil tamat program mobiliti kepada 42 pelajar dari Changsha University, China.
Rossita turut menyampaikan empat anugerah fakulti, iaitu anugerah Internationalisation and Mobility Engagement Program kepada Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan; Anugerah Collaborative Internasional Learning Mobility Programme kepada Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan; Anugerah Global Mobility Impact Programme kepada Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan; dan Anugerah Global Blended Mobility Award kepada Institut Penyelidikan Bioteknologi.
Hadir sama pada majlis tersebut Pengarah Pusat Pengantarabangsaan & Penglibatan Global, Prof. Madya Dr. Wardatul Akmam Din.
































