Hajiji bersama Anifah dan jemputan lain bergambar bersama rakyat Bongawan yang menghadiri Majlis Ramah Mesra di Dewan Masyarakat Bongawan, hari ini.
BONGAWAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menegaskan bahawa kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan amat penting demi memastikan pentadbiran negara berjalan lancar serta pembangunan Sabah terus dipacu secara menyeluruh.
“Kerjasama dengan Kuala Lumpur amat penting kerana mereka mentadbir negara, dan negara ini ialah negara kita. Walau apapun, ketika kita mempertahankan hak negeri, kita juga mesti mempertahankan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Ketua Menteri Bersama Rakyat Bongawan di Dewan Serbaguna Bongawan, di sini, hari ini.
Hajiji turut mendedahkan bahawa hampir setengah juta anak Sabah telah menerima manfaat daripada peruntukan pendidikan berjumlah RM1.3 bilion dalam tempoh empat tahun lalu.
Katanya, jumlah itu adalah yang terbesar berbanding pentadbiran terdahulu hasil kejayaan Kerajaan Negeri mentadbir dengan cekap serta meningkatkan kutipan hasil negeri.
“Dalam bidang pendidikan, sebanyak RM1.3 bilion telah dibelanjakan dalam tempoh empat tahun setengah ini untuk membantu kira-kira 500,000 anak Sabah.
“Dulu, biasiswa hanya RM40 juta hingga RM50 juta setahun, tetapi kini kita telah meluluskan RM145 juta. Peningkatan ini berlaku kerana kita berjaya mentadbir dengan baik dan meningkatkan hasil negeri,” katanya.
Menurut beliau, hasil negeri yang sebelum ini sekitar RM4 bilion hingga RM5 bilion setahun kini meningkat kepada RM7.5 bilion, dan hasil itu dikembalikan semula kepada rakyat melalui pelbagai bentuk bantuan dan program pembangunan.
Hajiji turut membidas tuduhan pembangkang yang mendakwa kerajaan negeri hanya membuat pengumuman tanpa hasil yang dirasai rakyat.
“Memanglah mereka tidak rasa, sebab manfaat itu dinikmati oleh rakyat. Walaupun tidak semua dapat dibantu, tetapi yang menerima manfaat adalah paling ramai.
“Rugi kalau Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak dikasi menang. Kita mesti bersatu untuk menentukan masa depan Sabah, jangan mudah terpedaya dengan retorik pembangkang,” katanya.
Beliau menyifatkan gaya politik pembangkang sebagai penuh cakap kosong.
“Mereka bercakap berapi-api macam jual ubat — mundar-mandir, pusing-pusing — tapi ubat itu tidak boleh sembuhkan sakit rakyat yang perlukan pembelaan kerajaan,” katanya sinis.
Dalam majlis sama, Hajiji yang juga Pengerusi GRS mengumumkan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Tan Sri Anifah Aman sebagai calon GRS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan pada PRU Sabah Ke-17.
“Jika GRS dan parti komponennya mempunyai jentera mantap, ditambah sokongan rakyat yang bersatu padu, saya yakin Bongawan ini milik GRS dan kita akan menang,” katanya.
Beliau turut menzahirkan hasrat agar DUN Bongawan yang kini diwakili parti pembangkang kembali berada di bawah kerajaan agar kawasan itu dapat dimajukan, seiring dengan slogan ‘Bongawan Maju’.
Selain itu, Hajiji juga menyatakan keyakinan bahawa GRS mampu kembali membentuk kerajaan selepas PRU Sabah pada 29 November ini.
Katanya, kestabilan politik di Sabah amat bergantung kepada perpaduan rakyat dan sokongan padu terhadap kerajaan negeri pada pilihan raya akan datang.
“Jika kita kembali membentuk kerajaan, lebih banyak program ekonomi akan dirancang untuk rakyat dalam tempoh lima tahun mendatang,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat agar tidak terpengaruh dengan dakyah, fitnah dan pembohongan pembangkang yang hanya bertujuan menggugat keyakinan rakyat terhadap kerajaan.


























