KOTA KINABALU: Lebih 300 peserta termasuk 250 pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), wakil agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan industri, menghadiri Seminar Kepimpinan Nasional: Dari Kampus ke Kepimpinan Negara yang dianjurkan oleh Akademi Kepimpinan Malaysia dengan kerjasama Akademi Negara Malaysia, Jabatan Perdana Menteri dan UMS. Majlis tersebut berlangsung di Dewan Resital, UMS, hari ini.
Seminar berkenaan telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Penasihat Akademi Kepimpinan Malaysia, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Haji Nasarah. Dalam ucapannya, beliau menegaskan peranan penting universiti dalam membentuk jati diri nasional serta melahirkan pemimpin pelapis yang berwibawa dalam kalangan pelajar.
Antara panel utama ialah Timbalan Pengerusi Sekretariat Profesional Wanita Malaysia, Dr. Hajah Fatimah Sabrina Mohammad. Dalam pembentangannya, Dr. Sabrina yang mesra disapa sebagai Kak Sab menekankan kepentingan memperkasakan suara wanita Sabah dan komuniti orang kurang upaya (OKU) dalam landskap kepimpinan negara.
“Wanita Sabah memiliki kekuatan tersendiri – ketabahan, pemahaman mendalam terhadap realiti masyarakat, serta empati yang tinggi. Wanita dan OKU bukan sekadar penerima dasar, sebaliknya mereka adalah suara rakyat yang wajar diberi tempat dalam proses membuat keputusan,” katanya.
Dr. Sabrina turut merujuk kepada sasaran nasional untuk memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus jawatan kepimpinan dan lembaga pengarah dalam sektor awam serta swasta diisi oleh wanita. Setakat ini, 100 syarikat tersenarai teratas mencatat purata penyertaan wanita sebanyak 32.2 peratus di peringkat lembaga pengarah. Namun, dalam politik, penglibatan wanita masih rendah dengan hanya sekitar 13.6 peratus kerusi Dewan Rakyat diwakili wanita.
“Angka-angka ini jelas menunjukkan bahawa wanita mampu memimpin. Apa yang diperlukan bukan layanan istimewa, tetapi peluang yang adil dan akses yang saksama,” tegasnya.
Beliau turut menyeru pelajar agar membina kepimpinan berasaskan tiga nilai utama:
- Ilmu – untuk berfikir secara kritikal dan matang
- Empati – untuk memahami dan menyelami mereka yang dipimpin
- Integriti – untuk kekal teguh apabila diberi amanah dan kuasa
“Graduan membawa kelayakan, tetapi pemimpin membawa nilai. Dan nilai inilah yang menentukan arah serta maruah sesebuah negara,” katanya.
Seminar ini menjadi platform strategik untuk melahirkan pemimpin muda yang berwawasan, termasuk wanita dan komuniti OKU dari Sabah, bagi mempersiapkan mereka menyertai kepimpinan negara bermula dari peringkat universiti.




























