Dr. Ritchie menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf di perkarangan Masjid Al-Kauthar, Tanjung Aru, kelmarin.
KOTA KINABALU: Seramai 110 golongan asnaf menerima bantuan yang disampaikan oleh Dr. Ritchie Jay Cheng daripada Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Tanjung Aru.
Program Penyerahan Sumbangan kepada Asnaf dan Jualan Rahmah itu diadakan di perkarangan Masjid Al-Kauthar, Tanjung Aru, kelmarin.
Program berkenaan, yang dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti sukaneka, pertandingan hafazan dan azan, serta kempen derma darah yang mendapat sambutan hangat daripada masyarakat setempat.
Dr. Ritchie berkata, penganjuran program seumpama itu mencerminkan komitmen PGRS untuk membawa politik berasaskan khidmat, seiring aspirasi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
“Kita mahu mengamalkan politik kerja nyata, bukan sekadar retorik. PGRS Tanjung Aru akan terus turun padang membantu rakyat tanpa mengira latar belakang,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan masjid, para sukarelawan dan agensi yang terlibat atas kejayaan penganjuran program tersebut.
“Inilah wajah politik khidmat — turun padang, bantu rakyat dan bina perpaduan,” ujarnya.



























