Jalil Angkub
KENINGAU, Pembinaan Terminal Bas Pengangkutan Awam Bersepadu Keningau (Keningau Sentral) bakal menjadi mercu tanda baharu kepada kemajuan sistem pengangkutan awam serta pemangkin pembangunan ekonomi di daerah ini.
Projek berimpak tinggi ini telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (2026-2030) dengan pembiayaan penuh oleh Kerajaan Negeri, sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan infrastruktur luar bandar di bawah pelan Sabah Maju Jaya (SMJ).
Terminal moden seluas 30,000 kaki persegi ini akan menempatkan kemudahan lengkap termasuk hentian berbumbung, tandas awam, surau, ruang niaga, 500 petak parkir serta sistem keselamatan berpagar dengan pemantauan CCTV. Ia akan menjadi hab utama bagi laluan pengangkutan jarak dekat dan jauh ke destinasi seperti Kota Kinabalu, Tawau, Tenom, Tambunan, Nabawan, Sandakan, Sipitang dan beberapa daerah lain di seluruh Sabah.
Ketua Kampung Buang Sayang, Jalil Angkub berkata, pembinaan Keningau Sentral bukan sahaja memperkukuh sistem pengangkutan awam yang lebih moden dan tersusun, tetapi juga berpotensi besar untuk menjana aktiviti ekonomi setempat.
“Projek ini akan menarik lebih ramai pengunjung ke Keningau, sekali gus membuka peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan peniaga tempatan. Ia simbol kemajuan bandar ini menuju status bandar moden dan mampan,” katanya.

Boneventure Harry
Sementara itu, Boneventure Harry menegaskan bahawa pembangunan tersebut amat penting bagi keselesaan dan keselamatan pengguna pengangkutan awam di pedalaman.
“Apabila siap kelak, Keningau Sentral akan memudahkan urusan perjalanan harian penduduk, menyediakan kemudahan yang lebih selesa serta meningkatkan kecekapan perhubungan antara daerah. Ia adalah keperluan asas yang telah lama dinantikan rakyat,” ujarnya.
Kedua-dua mereka turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor atas keprihatinan dan komitmen berterusan terhadap pembangunan seimbang di seluruh Sabah, termasuk kawasan pedalaman seperti Keningau.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri atas kepercayaan dan perhatian terhadap pembangunan Keningau. Inisiatif seperti ini membuktikan bahawa rakyat pedalaman tidak diketepikan dalam arus kemajuan negeri,” tambah mereka.
























