Armizan Mohd. Ali
KOTA KINABALU: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd. Ali membidas tuduhan pembangkang yang menuduh beliau ‘membuang masa menyerang’ parti lawan, dengan menegaskan bahawa beliau sekadar menjawab berdasarkan fakta dan sejarah politik negeri.
Katanya, selepas menjawab soalan wartawan mengenai isu pemimpin parti yang melompat menyertai Warisan baru-baru ini, berbondong-bondong pula jentera parti itu tampil memberi komen balas — seolah-olah terasa dengan pendedahan tersebut.
“Nampaknya tersentuh sanubari mereka. Maka terpanggil pula saya mengulas dengan lebih lanjut dalam video kali ini,” katanya dalam satu kenyataan video yang dimuat naik ke media sosialnya.
Menurutnya, naratif kononnya GRS ialah “Parti Khianat” atau “Parti Orang Lompat” merupakan propaganda yang tidak berasaskan fakta sejarah.
“Ya, GRS sebuah gabungan politik baharu. Sudah pasti ramai pemimpinnya pernah berada dalam wadah lain, namun kini mereka memilih untuk membentuk platform baharu menyatukan parti-parti lokal berteraskan citra tempatan,” katanya.
Beliau menegaskan, sebelum mana-mana pihak menuding jari, mereka perlu bercermin diri.
“Adakah mereka tidak pernah bertukar parti? Adakah parti mereka suci tidak pernah menerima pemimpin lompat dari parti lain?” soal beliau.
Armizan mendakwa bahawa ironi terbesar ialah parti yang paling lantang menentang budaya lompat parti — kini menjadi antara yang paling aktif menerima pemimpin lompat daripada parti lain.
“Parti yang kononnya paling menentang lompat parti kini menghampar permaidani merah menerima pemimpin parti lain, siap dengan sidang media khas di Liawan, Inanam, Pitas, Sukau dan beberapa tempat lain. Dihalalkan atas nama ‘yakin dengan perjuangan mereka’,” katanya sinis.
Beliau berkata, khabar angin menyebut bahawa sesetengah pemimpin lompat itu dijanjikan kerusi calon menjelang pilihan raya negeri, sesuatu yang menurutnya mencerminkan ketandusan calon berwibawa dalam parti berkenaan.
“Kalau sebelum ini mereka tuduh GRS parti lompat, maka jadilah parti mereka kini sarang pemimpin lompat. Tahniah dan selamat maju jaya,” katanya.
Menurut Armizan, lebih wajar perbincangan tentang isu lompat politik ditumpukan kepada sejarah sebenar dan peranan undang-undang yang kini menghalangnya di Sabah.
Beliau menjelaskan bahawa Sabah sebenarnya negeri pertama memperkenalkan undang-undang anti lompat pada 1986 di bawah kerajaan PBS, namun peruntukan itu dimansuhkan pada 1995 selepas keputusan mahkamah yang menyifatkannya bertentangan dengan kebebasan berpersatuan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Selepas pemansuhan itu, beberapa kali kerajaan negeri tumbang kerana lompatan YB — tanpa pilihan raya baharu. Dua kejadian besar ialah pada 1994 dan 2018,” katanya.
Beliau menjelaskan, pada 1994, kerajaan PBS tumbang selepas sebahagian besar ADUN melompat menyertai Barisan Nasional (BN), manakala pada 2018, kerajaan BN pimpinan Tan Sri Musa Aman digantikan oleh kerajaan Warisan selepas beberapa ADUN BN beralih menyokong Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.
“Ketika lompatan memihak kepada mereka, ia dihalalkan. Malah, pada Disember 2018, Ketua Menteri waktu itu menjawab di DUN bahawa kerajaan tidak bercadang memperkenalkan undang-undang anti lompat atas alasan ia bertentangan dengan asas demokrasi,” katanya.
“Namun bila lompatan tidak lagi memihak kepada mereka, pendirian pun berubah. Sekali air bah, sekali pantai berubah,” tambahnya.
Armizan menegaskan bahawa undang-undang untuk menghalang wakil rakyat melompat parti hanya berjaya diperkenalkan semula di bawah pentadbiran GRS.
“Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan) 2023 yang memasukkan peruntukan anti lompat parti dibentangkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor dan diluluskan dalam persidangan DUN pada 25 Mei 2023. Itulah legasi GRS terhadap integriti demokrasi Sabah,” katanya.
Beliau turut menolak dakwaan pemimpin Warisan bahawa beliau bertanding menggunakan watikah parti lain dalam PRU15, dengan menyifatkan tuduhan itu tidak berasas.
“Cuba semak dengan SPR. Watikah saya ditandatangani oleh Datuk Seri Hajiji Noor selaku Pengerusi GRS dan logo saya bertanding juga ialah logo GRS. Semua ini dihantar kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya semasa hari penamaan calon,” jelasnya.
Menjelang Pilihan Raya Negeri, beliau mempersoalkan taktik baharu pembangkang untuk kembali berkuasa, termasuk kemungkinan memujuk wakil rakyat parti lain untuk menyokong Presidennya sebagai Ketua Menteri.
“Warisan tidak pernah mendapat kuasa melalui pilihan raya. Tahun 2018, Warisan berkuasa hasil lompatan YB-YB. Orang muda kena tahu, itulah rekod sebenar Warisan,” katanya.
Armizan menegaskan, rakyat Sabah sudah matang menilai siapa sebenarnya memperjuangkan kestabilan dan prinsip demokrasi tulen.
“Apapun framing dan naratif yang dibuat terhadap GRS, hakikatnya GRS-lah yang membawa perubahan memperkenalkan semula undang-undang menghalang lompatan. Pilihlah GRS – Rumah Kita, Kita Jaga,” katanya.




























