Hajiji (duduk, enam dari kiri) bersama pemimpin GRS, ahli jentera pilihan raya dan penyokong di Dataran Daerah Kecil Kemabong hari ini.
TENOM: Kerajaan Negeri telah mengeluarkan hampir 40,000 ekar tanah negeri daripada kawasan konsesi Sabah Forest Industries (SFI) untuk dijadikan rizab kampung, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
“Kerajaan Negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah mewartakan rizab kampung ini sebagai bukti keprihatinan terhadap keperluan rakyat.
“Dalam persidangan Dewan Undangan Negeri yang lalu, kita telah meluluskan lebih 40,000 ekar tanah kerajaan daripada kawasan SFI untuk tujuan ini,” katanya ketika melancarkan Jentera Pilihan Raya GRS Kemabong di Dataran Daerah Kecil Kemabong, di sini, hari ini.
Hajiji berkata, di bawah pentadbiran GRS, sebahagian tanah milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga telah diperuntukkan dan diagihkan kepada rakyat bagi memastikan kesejahteraan mereka terus terjamin.
“Kita mahu rakyat hidup dengan selesa. Di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), salah satu tonggaknya ialah kemakmuran rakyat. Sebab itu, kita sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat,” katanya.
Menurut beliau, sebelum ini hanya sekitar 30,000 orang tersenarai sebagai penerima bantuan kebajikan, namun jumlah itu kini meningkat kepada 70,000 orang di bawah kerajaan sekarang.

Hajiji disambut oleh ahli GRS di Dataran Daerah Kecil Kemabong hari ini.
Hajiji turut menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri memperoleh banyak manfaat hasil Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan PETRONAS, yang membuka ruang lebih luas untuk Sabah dalam industri minyak dan gas.
“Dalam sektor perkhidmatan dan peralatan minyak serta gas (OGSE), kini terdapat lebih 80 vendor tempatan yang terlibat berbanding hanya 10 pada tahun 2022,” katanya sambil menambah bahawa vendor tempatan kini menguasai kira-kira 36 peratus pasaran kontrak.
Beliau berkata, tidak seperti pihak pembangkang yang sering bermain politik dendam apabila berkuasa, kerajaan pimpinan GRS menumpukan kepada pembangunan dan kemajuan menerusi Hala Tuju SMJ 1.0.
“Jika rakyat sekali lagi memberikan mandat kepada GRS, kita akan meneruskan agenda pembangunan melalui Hala Tuju SMJ 2.0.
“Kita tidak bermain politik dan tidak membuat janji kosong. Kita mempunyai agenda pembangunan yang jelas, sedangkan pembangkang hanya pandai berjanji bulan dan bintang,” tegasnya.
Pada majlis itu, Hajiji turut mengesahkan Datuk Rubin Balang sebagai calon GRS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Kemabong dalam Pilihan Raya Negeri Ke-17 pada 29 November ini.
“Dengan jentera yang kukuh dan sokongan padu daripada para pengundi di Kemabong, Insya-Allah Datuk Rubin Balang akan sekali lagi mempertahankan kemenangan di kawasan ini,” katanya.




























