KOTA KINABALU: Salah satu kekuatan terbesar Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor ialah keberanian memperkenalkan dasar-dasar baharu yang tidak pernah dilaksanakan secara serius oleh mana-mana kerajaan terdahulu.
Penganalisis politik tempatan, Musram Haji Rakunman berkata, pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) menjadi bukti bagaimana dasar yang diperkenalkan bukan sekadar slogan politik, tetapi terjemahan kepada hasrat dan aspirasi rakyat yang mahu melihat perubahan sebenar selepas sekian lama menunggu.
“Kerajaan GRS berani membuat perubahan dengan memperkenalkan dasar-dasar yang berpaksikan realiti rakyat, bukan retorik semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan.

Musram Haji Rakunman
Menurutnya, antara inisiatif yang membuktikan kesungguhan kerajaan ialah Program Rumah Mesra SMJ, Skim Insurans Rakyat Sabah, bantuan tunai kepada keluarga miskin dan warga emas, serta inisiatif keusahawanan belia yang membuka ruang kepada anak muda untuk berdikari.
“Langkah-langkah ini menunjukkan kerajaan GRS benar-benar serius menjadikan kesejahteraan rakyat sebagai teras utama pembangunan negeri,” katanya.
Musram menegaskan, dasar-dasar berkenaan bersifat inklusif dan rentas politik, menggambarkan kematangan pentadbiran yang meletakkan keutamaan kepada rakyat melebihi kepentingan parti.
“Dasar-dasar ini menjangkaui batas kaum dan agama — semua yang layak mendapat manfaat tanpa mengira latar belakang atau sokongan politik,” katanya.
Namun, katanya, kejayaan dasar-dasar yang dilaksanakan itu menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan segelintir pemimpin politik yang kehilangan modal untuk terus kekal relevan.
“Mereka cuba menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan semata-mata untuk mencari ruang dalam politik Sabah yang kini semakin matang,” katanya.
Beliau berkata, jika semua calon GRS membawa senarai dasar dan rekod pencapaian ini ke akar umbi, ia akan menjadi kelebihan besar yang sukar disaingi mana-mana parti lain.
“Dasar yang terbukti dilaksanakan memberi nilai nyata — sesuatu yang rakyat sendiri dapat rasai dan sukar dinafikan,” katanya.
Menjelang 29 November, apabila rakyat Sabah bersiap sedia untuk memilih kerajaan baharu, Musram berkata, persoalan utama bukan lagi siapa yang lebih lantang berpolitik, tetapi siapa yang benar-benar melaksanakan dasar yang membawa perubahan dalam kehidupan rakyat.
“Dan dalam hal ini, GRS mempunyai kelebihan yang jelas — dasar yang hidup, dasar yang menyentuh rakyat,” katanya.
























