Alijah (depan, tengah) bergambar kenangan bersama peserta program.
KOTA KINABALU : Tanggungjawab mencegah perkahwinan awal tidak seharusnya digalas oleh agensi kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan tanggungjawab sosial pemimpin komuniti, ibu bapa dan pendidik.
Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk Maria Chong berkata tanggungjawab untuk mencegah perkahwinan awal tidak boleh hanya diletakkan di bahu agensi kerajaan sahaja.
“Isu perkahwinan awal kanak-kanak merupakan cabaran sosial yang amat kompleks dan memerlukan perhatian serius daripada semua pihak.
“Ia bukan hanya persoalan undang-undang atau budaya tetapi menyentuh akar kesejahteraan masyarakat termasuk aspek pendidikan, kesihatan, ekonomi dan pembangunan modal insan.
“Pemimpin komuniti perlu menjadi suara kesedaran di peringkat akar umbi, guru-guru harus menanam nilai kehidupan dan kefahaman tentang hak serta potensi diri.
“Ibu bapa pula perlu memahami perkahwinan bukanlah penyelesaian kepada tekanan ekonomi atau sosial tetapi kadang kala menjadi punca kepada kitaran baharu,” katanya ketika berucap merasmikan Program Kesedaran Menangani Isu Perkahwinan Awal Kanak-kanak anjuran Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah di Wisma Wanita, pada Khamis.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Setiausaha Tetap KPMKR, Alijah Ismail.
Menurutnya, program berkenaan menjadi bukti nyata sinergi antara agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan media mampu mencipta gelombang perubahan sosial yang besar.
“Tiada satu entiti yang boleh bergerak sendirian dalam isu sebesar ini dan kekuatan sebenar datang apabila semua sektor bersatu menggabungkan kepakaran, sumber dan semangat advokasi.
“Kementerian amat menghargai setiap usaha bersama ini kerana melalui kerjasama beginilah kita dapat membina ekosistem sosial yang lebih adil, inklusif dan berperikemanusiaan terutama untuk anak-anak Sabah yang menjadi pewaris masa depan negeri ini,” ujarnya.
Program tersebut disertai kira-kira 350 peserta terdiri daripada wakil NGO, pelajar IPT serta agensi kerajaan dan swasta.
Turut hadir, Pengarah JHEWA, Haslina Ismail, dan Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Halim Idin.






























