Nur Fadilah (empat dari kanan) menyerahkan panel solar kepada Ketua Kampung Long Mio, Murang Padan (tiga dari kanan).
SIPITANG: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi dana Projek Pendayaan Komuniti @UniMADANI telah melaksanakan pemasangan sistem tenaga solar di Kampung Long Mio sebagai usaha memperkukuh kelestarian tenaga selain meningkatkan kesejahteraan komuniti pedalaman.
Projek berimpak tinggi itu diketuai oleh Prof. Madya Ts. Dr. Nur Fadilah Darmansah, dengan sokongan pasukan teknikal UMS bagi menyediakan akses tenaga lestari kepada penduduk kampung yang sebelum ini berdepan cabaran bekalan elektrik tidak stabil.
Selain pemasangan panel solar di kediaman penduduk, program tersebut turut merangkumi sesi pemindahan ilmu dan latihan teknikal mengenai pengendalian serta penyelenggaraan sistem yang dikendalikan oleh Dr. Mohd Azlan Ismail.
Menurut Nur Fadilah, inisiatif itu bertujuan memastikan penduduk memahami konsep tenaga boleh diperbaharui dan mampu mengurus sistem secara berdikari selain menambah baik infrastruktur tenaga kampung berkenaan, serta berpotensi meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk.
“Tenaga solar bukan hanya memberi cahaya pada waktu malam, tetapi turut membawa sinar kepada pembangunan pendidikan, ekonomi dan sosial masyarakat Long Mio. Penduduk kini dapat menjalankan aktiviti harian dengan lebih selesa dan produktif.
“Projek ini juga mendapat kerjasama Malaysian Relief Agency (MRA) Cawangan Sabah dan Winjaya Solar & Electrical, yang turut menyokong aspek logistik, teknikal dan koordinasi di lapangan,” katanya.
Sementara itu, Mohd Azlan berkata program tersebut memberi impak bermanfaat secara langsung kepada penduduk Long Mio.
“Pemasangan sistem tenaga solar ini membolehkan komuniti menikmati sumber tenaga yang bersih dan lestari, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap generator diesel yang menelan kos bahan api tinggi.
“Dengan tenaga yang lebih stabil, masyarakat dapat mengurus pembelajaran anak-anak, menjalankan kegiatan ekonomi kecil seperti jahitan dan perniagaan rumah dengan lebih teratur serta selamat,” katanya.
Tambah Mohd Azlan, latihan teknikal yang diberikan kepada komuniti mampu meningkatkan keupayaan mereka melakukan penyelenggaraan asas secara kendiri.
“Inilah objektif utama kami ke sini. Bukan sekadar memasang sistem, tetapi memastikan penduduk benar-benar mampu menguruskannya.
“Secara keseluruhannya, projek ini bukan hanya membawa cahaya ke rumah-rumah penduduk Long Mio, tetapi juga membawa sinar ilmu, kemajuan dan semangat kelestarian untuk masa depan komuniti pedalaman,” jelas beliau.






























