Azizah ketika berucap di Majlis Pelancaran Buku Pelan Pembangunan Strategik Daerah Kuala Penyu dan Daerah Kecil Menumbok 2025-2035.
KUALA PENYU : Pelan Strategik Pembangunan Daerah Kuala Penyu dan Daerah Kecil Menumbok 2025-2035 dilancarkan sebagai usaha memacu hala tuju pembangunan kedua-dua kawasan secara mampan.
Pengerusi Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) Datuk Seri Panglima Azizah Mohd. Dun berkata, pelan yang dirangka dengan visi jangka panjang itu bukan sahaja menumpukan kepada pertumbuhan ekonomi, malah memberi penekanan terhadap kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar serta pembinaan komuniti yang inklusif dan bersatu padu.
“Kuala Penyu dan Menumbok mempunyai kekuatan tersendiri yang wajar dimanfaatkan secara terancang, termasuk sektor pertanian, perikanan, kebudayaan dan pelancongan dengan tarikan semula jadi seperti Pulau Tiga, Batu Luang, Pantai Sawangan dan Tempurung.
“Apabila kita bangunkan pelancongan secara terancang, bukan bermakna kita jual pemandangan. Pelancong yang datang bukan sekadar untuk mengambil gambar, tetapi mereka membelanjakan wang di sini.
“Ini akan menjana peluang pekerjaan baharu, menggalakkan inap desa kembali aktif, melahirkan lebih ramai anak muda sebagai pemandu pelancong bertauliah dan membuka pasaran lebih luas untuk produk makanan tempatan,” katanya semasa Majlis Pelancaran Buku Pelan Pembangunan Strategik Daerah Kuala Penyu dan Daerah Kecil Menumbok 2025-2035 yang dirasmikan oleh YAB Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor pada Khamis.
Azizah memaklumkan matlamat utama pelan itu adalah untuk memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara langsung oleh penduduk kampung, bukan sekadar menjadi pemerhati kepada kemajuan di tempat sendiri.
“Kedudukan Menumbok yang strategik berhampiran Wilayah Persekutuan Labuan menjadikan daerah ini berpotensi besar sebagai pintu masuk logistik dan pelancongan yang mampu memperkukuh rangkaian pembangunan di pesisir barat daya Sabah.
“Namun, masih terdapat cabaran yang perlu ditangani termasuk keperluan infrastruktur asas serta usaha melindungi aset ekologi seperti hutan bakau dan kawasan pantai.
“Inilah sebabnya pelan ini amat penting untuk memastikan setiap cabaran ditangani dengan pendekatan menyeluruh, seimbang dan berpandangan jauh,” ujarnya.
Azizah turut menegaskan peranan IDS tidak hanya terhenti pada penyediaan dokumen strategik, tetapi juga dalam memastikan pelaksanaannya dipantau, dinilai dan ditambah baik secara berterusan selari dengan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) serta Pelan Struktur Sabah 2033.
“Kita mahu pembangunan yang mengekalkan suasana aman, damai dan lestari,bukan pembangunan fizikal semata-mata,” tambahnya.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong dan Pengarah Yayasan Limus Jury, Datuk Limus Jury.






























