Hajiji menyerahkan replika kunci Rumah Mesra SMJ kepada penerima pada majlis penyerahan di Menumbok hari ini.
MENUMBOK: Senarai calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan diumumkan pada 12 November, iaitu tiga hari sebelum hari penamaan calon.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor mengesahkan perkara itu ketika diminta mengulas mengenai beberapa parti politik lain yang merancang untuk mengumumkan calon mereka lebih awal, bermula hujung minggu ini.
Beliau berkata, mana-mana parti bebas untuk membuat pengumuman masing-masing, namun GRS telah menetapkan 12 November (Rabu) sebagai tarikh rasmi untuk memperkenalkan barisan calonnya bagi pilihan raya yang dijadualkan pada 29 November.
“Kita sudah pun mengagihkan kerusi. Kalau parti lain mahu umum lebih awal, terpulang kepada mereka. Kita akan umum lewat, pada 12 November,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pelancaran Pelan Pembangunan Strategik Daerah Kecil Kuala Penyu dan Menumbok 2025-2035, majlis penyerahan kunci Rumah SMJ, penyerahan warta tanah, serta penyampaian bantuan Yayasan Limus Jury yang diadakan di tapak tamu Menumbok, hari ini.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS, menyatakan keyakinannya terhadap kemampuan gabungan itu untuk sekali lagi memperoleh mandat rakyat bagi mentadbir negeri selepas pilihan raya nanti.
Beliau berkata, keyakinan itu berpunca daripada keputusan GRS menampilkan barisan calon yang kuat dan “boleh menang” di semua kerusi yang ditandingi.
“Kita hanya menampilkan calon yang boleh menang, termasuk di Kuala Penyu. Saya sudah berikan bayangan sebelum ini, dan kita yakin akan mencapai kemenangan dalam pilihan raya kali ini,” katanya.
Menurutnya, sekiranya GRS terus diberi mandat, Kerajaan pimpinan beliau akan meneruskan pelaksanaan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi memastikan kesinambungan pembangunan di Sabah.
Dalam perkembangan lain, Ketua Menteri bersetuju agar cadangan pembinaan jambatan menghubungkan Wilayah Persekutuan Labuan dengan tanah besar Sabah dibincangkan semula dengan Kerajaan Persekutuan.
Katanya, kemudahan itu penting bukan sahaja untuk memudahkan perhubungan di antara pulau itu dengan tanah besar Sabah, malah disasar mampu melonjakkan lagi ekonomi daerah kecil Menumbok dan Kuala Penyu.




























