KOTA KINABALU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu melaksanakan Kempen Pengurangan Bayaran Saman Trafik sehingga 70 peratus bermula 1 November hingga 30 Disember 2025.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kempen itu selaras dengan arahan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan pengumuman oleh Menteri Dalam Negeri pada 22 Oktober lalu.
Menurutnya, orang ramai boleh membuat bayaran saman melalui aplikasi MyBayar PDRM bagi pengguna berdaftar dengan MyDigital ID, atau secara fizikal di Kaunter Trafik IPD Kota Kinabalu serta di semua Pejabat Pos Malaysia di seluruh negara.
“Namun, tawaran pengurangan ini tidak terpakai bagi kesalahan yang tidak boleh dikompaun (Non-Compoundable/NC), dan kadar pengurangan adalah tertakluk kepada nilai kompaun semasa dengan kadar minimum RM30,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, inisiatif pengurangan bayaran saman itu bertujuan menggalakkan orang ramai menyelesaikan saman tertunggak sebelum akhir tahun ini.
“IPD Kota Kinabalu menyeru orang awam agar mengambil peluang ini untuk menjelaskan saman mereka sebelum 30 Disember 2025.
“Usaha ini juga diharap dapat meningkatkan disiplin pemandu serta menyokong inisiatif Kerajaan dalam membentuk budaya pemanduan yang lebih bertanggungjawab, berdisiplin dan selamat di jalan raya,” katanya.






























