Charis (kanan) berkongsi perkembangan inisiatif pemuliharaan syarikat di Kawasan Pemuliharaan Sungai Pin bersama Yusran pada sambutan Hari Orang Utan Sedunia 2025 di Zoo Taiping dan Night Safari di Perak pada Sabtu (1 Nov).
KOTA KINABALU: Komitmen SKG Green Sdn. Bhd. terhadap usaha pemuliharaan orang utan telah menarik perhatian ramai semasa sambutan Hari Orang Utan Sedunia 2025 yang diadakan baru-baru ini di Zoo Taiping dan Night Safari, Perak.
Acara hujung minggu itu menghimpunkan para konservasionis, agensi hidupan liar serta orang awam bagi meraikan usaha berterusan Malaysia dalam melindungi salah satu spesies kera besar paling terancam di dunia.
SKG Green yang merupakan anak syarikat Sawit Kinabalu, menampilkan pelbagai inisiatif pemuliharaan yang dilaksanakan di Kawasan Pemuliharaan Sungai Pin (SPnCA) di Kinabatangan. Antara usaha yang diketengahkan ialah penggunaan jambatan kanopi yang membolehkan orang utan bergerak dengan selamat di antara petak-petak hutan yang terpisah di sepanjang Sungai Pin.
Walaupun jambatan kanopi itu bukanlah kemudahan baharu, ia tetap menarik perhatian pengunjung yang berminat memahami bagaimana struktur sedemikian membantu menyambung semula habitat yang terpisah dan membolehkan pergerakan selamat hidupan liar di kawasan perladangan.
Jambatan ini memberi manfaat kepada kira-kira 55 ekor orang utan yang hidup di sekitar Sungai Pin, sebahagian daripada kawasan SPnCA seluas 2,632 hektar, selain turut dimanfaatkan oleh spesies arboreal lain seperti monyet belanda (proboscis monkey) dan kera (macaque).
Ruang pameran SKG Green di acara berkenaan turut menerima sambutan menggalakkan daripada pengunjung, termasuk wakil agensi kerajaan dan organisasi pemuliharaan.
Delegasi lima anggota SKG Green diketuai oleh Pengurus Kanan (Konservasi dan Biodiversiti), Charis Saliun yang turut berkongsi perkembangan usaha pemuliharaan syarikat bersama Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Yusran Shah Mohd. Yusof yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF).
“Ia merupakan peluang bermakna untuk menonjolkan bagaimana kerjasama antara kerajaan, industri dan rakan pemuliharaan dapat memberi impak sebenar dalam melindungi hidupan liar seperti orang utan,” katanya.
Charis turut menjelaskan bahawa SPnCA juga merupakan sebahagian daripada Program Diplomasi Orang Utan, iaitu inisiatif yang diterajui oleh MPOGCF dengan kerjasama Borneo Samudera Sdn Bhd (BSSB). Program ini bertujuan memastikan orang utan dapat bergerak bebas di habitat semula jadi mereka tanpa gangguan daripada aktiviti manusia atau operasi perladangan.
Inisiatif Diplomasi Orang Utan itu diperkukuh lagi awal bulan ini melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara MPOGCF dan BSSB yang diadakan di SPnCA.
“Kerjasama ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk terus melindungi hidupan liar sambil mengekalkan pembangunan mampan,” kata Charis, sambil menambah bahawa penetapan SPnCA sebagai kawasan Nilai Pemuliharaan Tinggi (HCV) mengiktiraf kepentingannya sebagai habitat penting bagi orang utan dan spesies terancam lain.
Beliau menegaskan bahawa melalui kerjasama berterusan dengan MPOGCF, Sawit Kinabalu dan SKG Green terus berusaha memperkukuh koridor hidupan liar, menyokong penyelidikan ekologi, serta meningkatkan kesedaran biodiversiti dalam kalangan komuniti setempat.
“Kawasan Pemuliharaan Sungai Pin mencerminkan usaha bersama untuk memelihara biodiversiti, memperkasakan komuniti tempatan dan memastikan warisan semula jadi Sabah terus terpelihara,” katanya.
Sambutan Hari Orang Utan Sedunia yang diraikan setiap tahun bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai keperluan mendesak untuk melindungi populasi orang utan di Borneo dan Sumatera, yang terus berdepan ancaman kehilangan dan pemecahan habitat.































