Masiung melambai kepada warga Kuamut sejurus tiba di majlis di Estet Sapi Nangoh.
BELURAN: Penduduk tempatan yang sekian lama berdepan isu pemilikan tanah di Tongod kini mula menjana hasil tanaman selepas kerajaan negeri mengeluarkan sebanyak 3,700 geran tanah sejak tahun 2008.
Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, berkata pemberian geran itu dilaksanakan secara berterusan selepas beliau memperkenalkan dasar menolak kemasukan syarikat luar yang berhasrat menerokai tanah rizab kerajaan di daerah berkenaan.
“Dasar menolak permohonan tanah daripada syarikat mega ini dibuat bagi memberi keutamaan kepada penduduk tempatan Kuamut untuk memiliki tanah sendiri,” tegasnya ketika menemui warga Kuamut di Dewan Toniting, Estet Sapi Nangoh, menerusi Program Inspirasi Kalaga, semalam.
Menurut rekod terkini Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sandakan, dalam tempoh dua tahun bermula 2024, seluas 2,346.73 ekar lagi telah diukur melalui Program Pengukuran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS), manakala 724 lot tanah telah diwartakan sebagai tapak perkampungan di enam buah kampung di Tongod.
Enam kampung berkenaan ialah Mangkawagu, Minusuh, Liupampang, Tampasak, Alitang dan Saguon, di mana penduduknya kini telah menerima geran masing-masing.
Masiung berkata, lebih 10,000 ekar tanah lagi sedang dalam proses pengukuran melibatkan beberapa kampung termasuk Penangah, Entilibon, Tongod dan Inarad.
“Pengukuran PANTAS untuk penduduk asal membabitkan tanah rizab kerajaan yang dikeluarkan daripada kawasan hutan simpan dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Sabah.
“Kita mengutamakan penduduk tempatan untuk memiliki tanah rizab kerajaan dan menolak penerokaan syarikat mega dari luar yang hanya menutup peluang ekonomi rakyat,” jelasnya.
Sejak memenangi kerusi pada tahun 2008, Masiung konsisten memperjuangkan dasar menolak permohonan tanah rizab kerajaan oleh syarikat swasta, sebaliknya memberi keutamaan kepada rakyat Kuamut untuk memiliki tanah sendiri.
Lebih 300 warga Kuamut yang berkhidmat di beberapa syarikat perladangan sawit di Sapi Nangoh turut hadir memeriahkan Program Inspirasi Kalaga yang diketuai Pengerusi Penganjur, Aslan Timoi.































