Johari Tahir
KOTA KINABALU: Rakyat Sabah tidak mempunyai sebab untuk menolak Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 kerana Kerajaan pimpinan Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor telah membuktikan keupayaan mentadbir negeri secara berkesan dan berpaksikan kepentingan rakyat.
Ketua Bahagian Parti Cinta Sabah (PCS) Bingkor, Johari Tahir menegaskan, sejak GRS menerajui pentadbiran pada 2020, Sabah menikmati kestabilan politik, pertumbuhan ekonomi kukuh dan pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan yang memberi manfaat terus kepada rakyat.
“Kita perlu menilai secara jujur. Tiada sebab untuk menolak GRS kerana inilah kerajaan yang membela kepentingan Sabah, melaksanakan reformasi kewangan dan memastikan pembangunan sampai ke kampung,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Beliau berkata, Kerajaan GRS berjaya meningkatkan hasil negeri melebihi RM6 bilion pada 2024, selain memperkenalkan pelbagai inisiatif membantu pelbagai lapisan rakyat termasuk golongan belia dan pelajar negeri ini.
Katanya, pelaksanaan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) turut memberi kesan besar melalui pembinaan jalan luar bandar, penyaluran bekalan air dan elektrik serta peningkatan kemudahan pendidikan dan kesihatan.
“Rakyat boleh lihat perubahan ketara di kampung — jalan lebih baik, peluang ekonomi meningkat dan anak muda kini mampu bekerja di negeri sendiri,” ujarnya.
Johari menegaskan bahawa GRS berjaya menyatukan parti-parti tempatan di bawah satu payung besar, menjadikan ia simbol perpaduan dan suara bersama rakyat Sabah.
“GRS ialah platform penyatuan rakyat Sabah tanpa mengira parti dan kaum. Kita tidak boleh lagi berpecah kerana hanya perpaduan akan memastikan Sabah terus kuat,” katanya.
Beliau menambah, PCS Bingkor akan terus memperkukuh gerak kerja akar umbi bagi menjelaskan kejayaan GRS dan memastikan rakyat terus memberi mandat kepada gabungan itu demi kesinambungan pembangunan di bawah Pelan SMJ 2030.
“Sabah kini berada di landasan betul di bawah GRS. Inilah masa untuk rakyat terus maju bersama dan bukan berpatah balik,” tegasnya.




























