Robert Tawik
KOTA KINABALU: Bekas Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Robert Tawik menafikan sekeras-kerasnya satu kenyataan palsu yang menggunakan namanya dan disebarkan kepada media serta orang ramai hari ini.
Kenyataan palsu itu mendakwa beliau menafikan pernah menyeru ahli dan penyokong STAR supaya terus menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Robert menjelaskan, kenyataan tersebut tidak pernah dikeluarkan oleh beliau dan menegaskan ia merupakan tindakan tidak bertanggungjawab oleh pihak tertentu yang berniat jahat untuk mengelirukan ahli STAR, penyokong GRS dan rakyat Sabah.
“Saya menegaskan bahawa kenyataan tersebut adalah palsu dan tidak pernah dikeluarkan oleh saya. Ia jelas merupakan usaha pihak tertentu yang cuba menimbulkan kekeliruan dan perpecahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan palsu itu mendakwa Robert menafikan pernah menyeru ahli dan penyokong STAR supaya terus menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Beliau turut mengulangi pendiriannya seperti yang dinyatakan dalam kenyataan rasmi bertarikh 30 Oktober 2025 — menyokong penuh GRS dan kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
“Sebagai mantan Timbalan Presiden STAR, saya menyeru semua ahli dan penyokong parti supaya terus memberi sokongan kepada GRS demi kestabilan politik, kesinambungan pembangunan dan kemajuan negeri Sabah menjelang Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri akan datang,” katanya.
Robert berkata, beliau menghormati keputusan STAR untuk bertanding secara solo pada pilihan raya akan datang, namun menegaskan keutamaan kini ialah mengekalkan kestabilan politik serta memastikan agenda pembangunan di bawah kerajaan GRS sejak 2020 dapat diteruskan.
Beliau juga mengingatkan semua pihak, termasuk media, supaya tidak menyiarkan kenyataan tidak sahih yang kononnya mewakili pandangan beliau.
“Sebarang kenyataan rasmi daripada saya hanya akan disalurkan melalui saluran komunikasi rasmi yang disahkan,” tambahnya.




























