Aksyah Haji Nasrah
KOTA KINABALU: Penghijrahan beberapa pemimpin pada saat akhir menjelang Hari Penamaan Calon tidak akan menggugat kekuatan mahupun keutuhan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang kini semakin tersusun dan matang di bawah kepimpinan Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Aktivis politik, Aksyah Haji Nasrah berkata, perpindahan keluar sebilangan kecil ahli atau bekas pemimpin GRS dianggap sebagai proses semula jadi dalam dunia politik, dan tidak membawa kesan besar kepada kekuatan sebenar gabungan tersebut.
“Saya yakin Hajiji berlapang dada menerima perkara ini kerana beliau memahami inilah asam garam demokrasi. Malah, dari sudut lain, penghijrahan ini membawa hikmah tersendiri apabila GRS kini dapat menapis dan menilai semula barisan pemimpin yang benar-benar setia serta berjiwa perjuangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aksyah berkata, perpindahan segelintir individu itu memberi ruang kepada GRS untuk memperkukuh tumpuan terhadap calon dan jentera yang berkualiti serta memiliki semangat setiakawan sejati.
Beliau berpandangan, kemasukan bekas pemimpin GRS ke parti lain tidak semestinya membawa kekuatan kepada parti baharu tersebut.
“Ironinya, kehadiran mereka hanya akan menimbulkan keresahan dalam kalangan pejuang asal parti yang sudah lama berjuang bersama presidennya. Jika tidak dicalonkan semula kerana kemunculan orang baharu ini, sudah tentu semangat ahli lama akan terjejas,” katanya.
Aksyah berkata, keadaan itu sedikit sebanyak boleh menimbulkan ketegangan apabila gelanggang kempen bermula kelak.
“Biarkan mereka dengan labu-labunya. GRS tetap fokus dengan perjuangan untuk rakyat,” katanya.
Mengulas lanjut, Aksyah menyeru semua pemimpin dan jentera GRS supaya kekal fokus terhadap kawasan masing-masing dan memperkukuh strategi mendekati pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) pada 29 November ini.
“Keutamaan kita ialah parti. Ketepikan sementara kepentingan peribadi. Kita mahu menang mutlak dalam peperangan ini, bukan sekadar menang dalam pertempuran kecil,” tegasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa kekuatan sebenar tidak terletak pada jumlah ahli semata-mata, tetapi pada kualiti dan strategi dalam menghadapi medan politik sebenar.
“Biarlah orang mengulas tentang parti kita. Yang penting, kita terus mempertajamkan persiapan. Rakyat Sabah sudah tahu menilai,” katanya.
Aksyah turut menyifatkan rekod pentadbiran Kerajaan GRS di bawah kepimpinan Hajiji sebagai cemerlang, khususnya menerusi pelaksanaan dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, yang berjaya menstabilkan politik dan membawa kemakmuran ekonomi kepada rakyat negeri ini.
“Rakyat Sabah berhak terus mendapat kerajaan yang memahami dan merasai denyut nadi mereka. Hala Tuju SMJ 2.0 mesti diteruskan demi kesinambungan pembangunan dan kestabilan politik negeri,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa PRN17 kali ini adalah medan penentu masa depan perjuangan GRS dalam memartabatkan kepimpinan dan dominasi parti tempatan sebagai peneraju kerajaan negeri.
“Kita wajib tanamkan tekad bahawa pilihan raya kali ini adalah penentu hidup mati perjuangan memartabatkan anak bangsa Sabah. Ingatkan rakyat – jangan masuk ke lubang yang sama dua kali. Pertahankan Sabah untuk kita! Biar kita yang jaga Sabah!,” katanya.
Beliau juga menyeru agar rakyat terus mempercayai GRS sebagai parti yang realistik, berprinsip dan menawarkan manifesto terbaik untuk rakyat, bukan sekadar janji bulan dan bintang.




























