Armizan Mohd. Ali
PAPAR: “Dorang cakap GRS gagal selesaikan isu tiga serangkai – masa dorang, selesaikah?” demikian sindiran bermakna Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd. Ali, ketika menjelaskan usaha sebenar Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam menangani masalah air yang sekian lama membelenggu rakyat Sabah, khususnya di daerah Papar.
Menurut beliau, isu “tiga serangkai” – air, elektrik dan jalan raya – bukanlah masalah baharu di bawah pentadbiran GRS, sebaliknya legasi berpanjangan hasil kelemahan perancangan dan pelaksanaan projek pada masa lalu.
“Hakikatnya, isu ini bukan timbul semalam atau lima tahun lalu, tetapi telah berlarutan berpuluh tahun. Ini isu warisan. Tetapi GRS sedang bekerja, bukan mencari alasan,” katanya.
Sejurus diberi mandat sebagai Ahli Parlimen Papar pada November 2022, Armizan menetapkan penyelesaian isu air sebagai keutamaan, terutamanya di kawasan Kinarut dan perumahan bertingkat yang sering mengalami gangguan bekalan.
Beliau menjelaskan, penyelesaian komprehensif perlu melibatkan empat komponen utama – R-T-D-E, iaitu Resource (Sumber Air Mentah), Treatment (Rawatan), Distribution (Pengagihan) dan Enforcement (Penguatkuasaan).
Kekurangan Kapasiti Loji Rawatan Air Papar
Laporan Jabatan Air Papar menunjukkan daerah itu memerlukan 93 juta liter air terawat sehari (JLH), namun tiga loji rawatan sedia ada hanya mampu menghasilkan 63 JLH – LRA Kogopon (40 JLH), EWSS Limbahau (10 JLH) dan LRA Jetama Limbahau (13 JLH).
“Ini bermakna Papar kekurangan 30 juta liter setiap hari, hanya mampu memenuhi 65 peratus keperluan. Masalah ini bukan baharu, tetapi akibat kelewatan projek naik taraf sejak Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020),” katanya.
Projek Naik Taraf Loji Rawatan Air Kogopon Fasa 2 yang dirancang bagi meningkatkan kapasiti kepada 80 JLH gagal dimulakan ketika itu, namun telah dihidupkan semula di bawah pentadbiran GRS melalui penyelarasan bersama kerajaan negeri dan persekutuan.
Projek Naik Taraf Kogopon Diteruskan, Kini 59.39 Peratus Siap
Armizan berkata, hasil kerjasama rapat bersama Dato’ Sri Ghulamhaidar Khan Bahadar, Datuk Juil Nuatim dan sokongan penuh Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, projek itu kini disenaraikan sebagai projek keutamaan selepas mesyuarat khas bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1 Jun 2023.
Tanpa menunggu kelulusan penuh Notis Perubahan (NOC), Ketua Menteri mengarahkan proses perolehan dimulakan segera dan majlis pecah tanah disempurnakan pada 25 Ogos 2023.
“Projek besar seperti ini memerlukan tiga tahun untuk siap. Dua tahun telah berlalu dan, insya-Allah, siap sepenuhnya pada penghujung 2026,” jelasnya sambil memaklumkan kemajuan projek kini mencapai 59.39 peratus setakat 25 Oktober 2025.
Beliau berkata, pemasangan papan tanda besar di simpang Sabindo, Kinarut bukan sekadar hiasan, tetapi simbol ketelusan dan akauntabiliti kepada rakyat.
“Billboard itu menunjukkan status kemajuan projek supaya rakyat tahu kita serius dan boleh pantau sendiri,” ujarnya.
Loji Alternatif Kampung Kabang: Sumber Air Baharu untuk Elak Gangguan
Selain menaik taraf LRA Kogopon, Armizan turut menekankan pembinaan muka sauk alternatif di Kampung Kabang bagi mengatasi masalah air masin di muka sauk Limbahau yang kerap menjejaskan operasi dua loji utama semasa musim kemarau dan air pasang.
“Apabila muka sauk di Limbahau tidak dapat beroperasi, muka sauk alternatif di Kg Kabang boleh digunakan bagi memastikan bekalan air mentah tidak terputus,” katanya.
Projek muka sauk alternatif di Kg Kabang yang bermula pada 10 Mac 2025 kini telah mencapai kemajuan 36.92 peratus dan dijangka siap pada awal 2026.
“Saya bersyukur kerana Ketua Menteri sendiri turun padang pada 19 Mac 2024 dan meluluskan peruntukan serta-merta bagi menaik taraf muka sauk ini,” katanya lagi.
Komitmen Berterusan Demi Rakyat Papar
Armizan turut memohon maaf kepada penduduk Papar yang masih terkesan dengan gangguan air, namun menegaskan bahawa dua projek utama kini sedang giat dilaksanakan dan bukan sekadar janji di atas kertas.
“Saya tidak ada lampu ajaib untuk menyiapkan projek besar dalam sekelip mata, tetapi saya pastikan setiap langkah dipantau dan siap mengikut jadual. Kita mahu solusi, bukan alasan,” tegasnya.
Beliau turut menyeru rakyat Papar agar terus memberi kepercayaan kepada wakil-wakil GRS di DUN Limbahau, Kawang dan Pantai Manis dalam Pilihan Raya Negeri yang dijangka berlangsung hujung November ini, sebagai kesinambungan kepada usaha penyelesaian menyeluruh isu air di daerah berkenaan.




























