Dr. Sabrina melawat pesakit.
KOTA KINABALU: Kisah kejayaan Dr. Sabrina Mohammad menjadi inspirasi luar biasa buat anak muda Sabah, khususnya golongan wanita dan Orang Kurang Upaya (OKU), apabila beliau membuktikan bahawa kekurangan fizikal bukan penghalang untuk mencipta kecemerlangan dalam akademik dan kepimpinan.
Berasal dari Kg. Gudon, Sepanggar namun menetap di Sandakan dan berstatus OKU fizikal, Dr. Sabrina menjadikan setiap cabaran sebagai batu loncatan untuk terus melangkah lebih jauh dalam dunia akademik dan perjuangan sosial.
Dalam arena kepimpinan mahasiswa, Dr. Sabrina mencipta sejarah apabila terpilih sebagai Wanita OKU pertama menjadi Presiden Mahasiswa Pascasiswazah bagi penggal 2022–2024 setelah menang besar dalam Pilihan Raya Kampus peringkat universiti.
Kemenangan itu bukan sekadar simbol kejayaan peribadi, tetapi bukti bahawa kemampuan dan ketokohan seseorang tidak ditentukan oleh kekurangan fizikal.
Pensyarah di universiti turut mengiktiraf ketokohan beliau sebagai seorang pelajar yang memiliki kecemerlangan akademik seiring dengan jiwa kepimpinan yang tinggi.
“Beliau bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga mempunyai kesedaran sosial dan keberanian memimpin — bukan sekadar mahasiswa wanita, bahkan lelaki. Dr. Sabrina adalah contoh terbaik wanita muda yang layak diangkat sebagai pemimpin masa depan,” ujar salah seorang pensyarah yang pernah membimbing beliau.
Tidak sekadar di kampus, Dr. Sabrina turut aktif dalam pelbagai inisiatif NGO di sekitar Kota Kinabalu dan Sepanggar, menumpukan usaha kepada pembangunan sosial, pendidikan komuniti serta kesedaran kesihatan di peringkat akar umbi.
Bagi beliau, perjuangan sebenar seorang pemimpin ialah membawa perubahan dan memberikan inspirasi kepada masyarakat.
“Saya mahu wanita muda dan komuniti OKU tahu bahawa kita bukan terhad. Kita cuma bergerak dengan cara yang berbeza,” katanya ketika ditemui.
Dr. Sabrina baru sahaja menamatkan pengajian Sarjana Sains Politik (Hubungan Antarabangsa & Diplomasi) di UiTM Shah Alam pada penghujung tahun 2024. Tidak berhenti di situ, beliau kini melanjutkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kesihatan Awam di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Malaysia Sabah (UMS). Beliau juga memegang portfolio Pegawai Perhubungan (Kesihatan) kepada Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat merangkap Exco Kesihatan Negeri Sabah setelah dilantik pada tahun 2023 sehingga sekarang.
Pada awal tahun 2025, beliau juga pernah melakar sejarah sebagai Doktor Perubatan OKU pertama bertugas menyantuni Jemaah Haji ke persada Antarabangsa di Arab Saudi.
Kisah beliau membuktikan bahawa ilmu, ketabahan dan semangat kental mampu mengubah batas menjadi kekuatan — menjadikan Dr. Sabrina bukan sekadar ikon akademik, tetapi simbol keberanian dan inspirasi buat seluruh rakyat Sabah.




























