Haji Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menyatakan harapan bahawa inisiatif seperti BigSabah Sale akan terus memperluas akses pasaran dan mengukuhkan kedudukan Sabah dalam perdagangan serantau dan antarabangsa.
“Saya berharap platform seperti BigSabah Sale akan terus memupuk kerjasama komersial dan memperkukuh integrasi ekonomi Sabah dengan BIMP-EAGA serta koridor Asia-Pasifik,” katanya.
Hajiji berkata, kerjasama yang kukuh dan bermakna menjadi pemangkin kepada pertumbuhan komersial Sabah.
“Kerajaan Negeri menghargai kerjasama dengan pihak industri yang sokongannya telah membolehkan peluasan perdagangan, pengembangan pasaran dan pembangunan perniagaan untuk usahawan tempatan.
“Kehadiran pempamer antarabangsa dan pembeli yang dijemput hari ini mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat terhadap potensi Sabah sebagai pintu masuk perdagangan di Asia Timur ASEAN,” katanya ketika merasmikan BigSabah Sale di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun.

Masidi mewakili Ketua Menteri memotong reben sebagai simbolik perasmian BigSabah Sale 2025 di SICC, hari ini.
Beliau berkata, BigSabah Sale mencerminkan kemajuan berterusan Sabah dalam membangunkan ekonomi yang dinamik dan saling berhubung.
Katanya, acara ini menonjolkan kepentingan penyertaan perusahaan, kolaborasi industri dan kerjasama serantau sebagai pemacu utama pertumbuhan mampan.
Hajiji menambah bahawa melalui inovasi, kelestarian dan kerjasama pintar, Sabah sedang berubah secara berperingkat menjadi destinasi perniagaan dan pelaburan bernilai tinggi.
“Saya menggalakkan semua pempamer, usahawan dan pelabur untuk memanfaatkan peluang ini sepenuhnya — bentuklah kerjasama baharu, terokai ekosistem produk baharu dan gerakkan idea-idea baharu,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri mengiktiraf acara perniagaan sebagai pemangkin aktiviti ekonomi dan pemacu strategik kepada keterhubungan perdagangan.
“Pada November 2022, Kerajaan Negeri menubuhkan Sabah Convention Bureau (SCB) bagi meningkatkan daya saing Sabah dalam bidang mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE).
“Melalui kerjasama dengan pemain industri, SCB terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekosistem acara perniagaan dengan menarik program industri serta meningkatkan keterlihatan Sabah dalam landskap acara global,” katanya.
Beliau berkata, acara perniagaan merupakan enjin peluang yang berkuasa kerana ia menjana aktiviti ekonomi bukan sahaja untuk sektor hospitaliti dan runcit, tetapi juga logistik, pertanian, teknologi dan pembuatan.
“Yang tidak kurang penting, ia turut memperkukuh rantaian bekalan tempatan dan pembangunan bakat,” katanya.
Tiga belas negara — Brunei, Indonesia, Filipina, Thailand, Singapura, China, Hong Kong, Taiwan, Korea Selatan, India, Turki, Mesir dan Pakistan — mengambil bahagian dalam BigSabah Sale tahun ini.




























