Nurlaila ketika menyampaikan perkongsian sempena Sesi Bicara Inspirasi Alumni UMS
KOTA KINABALU: Mahasiswa dan alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS) diseru agar memainkan peranan aktif dalam menyebarkan cerita positif tentang universiti di media sosial bagi memastikan institusi itu kekal relevan, utuh dan terus menyemarak dalam dunia pendidikan tinggi.
Pengarah Wilayah Sabah dan Sarawak Lembaga Tabung Haji merangkap alumni kohort ketiga UMS (1998), Datuk Hajah Nurlaila Said, berkata warga UMS perlu menjadi duta yang membawa imej baik universiti melalui naratif positif yang dikongsikan kepada masyarakat.
“Kita semua adalah duta kepada alma mater kita. Apa sahaja yang kita kongsikan di media sosial mencerminkan siapa kita dan dari mana kita datang.
“Sebarkan perkara yang baik tentang UMS supaya universiti ini terus menjadi kebanggaan bersama,” katanya semasa Sesi Bicara Inspirasi Alumni UMS sempena Program Baca @Borneo 2025 di Koleksi Perdana, Perpustakaan UMS, pada Selasa.
Beliau turut mengimbau kenangan semasa menuntut di UMS pada era awal penubuhannya, sambil berkongsi bahawa cabaran hidup mahasiswa ketika itu menjadikan mereka lebih tabah dan menghargai nilai kesabaran serta kesyukuran.
Dalam perkongsian tersebut, Datuk Hajah Nurlaila yang juga Ahli Lembaga Pengarah UMS dari 15 November 2016 hingga 14 November 2022 turut memperkenalkan konsep ‘Reflect, Relearn, Reconnect’ sebagai panduan kepada mahasiswa dan alumni dalam memupuk semangat kekitaan serta memperkukuh hubungan dengan alma mater.
“Kita perlu sentiasa muhasabah tentang perjalanan hidup kita (reflect), belajar semula untuk berkembang (relearn) dan menyambung semula hubungan dengan UMS serta sesama alumni (reconnect).
“Saya lihat ramai alumni hebat, tetapi jiwa mereka agak ‘disconnected’ dan ini yang perlu diperbaiki,” katanya.
Datuk Hajah Nurlaila turut menyatakan harapan agar UMS terus berkembang dan kekal berperanan sebagai institusi ilmu yang melahirkan lebih ramai insan berbakti kepada negeri dan negara.
“Saya ingin lihat UMS kekal wujud sekurang-kurangnya 50 tahun lagi, dan kalau boleh, 80 peratus daripada pelajar yang ada hari ini akan kembali suatu hari nanti untuk menabur bakti kepada alma mater tercinta,” katanya mengakhiri sesi tersebut.
Sesi Bicara Inspirasi Alumni UMS itu merupakan sebahagian daripada pengisian Program Baca @Borneo 2025 anjuran Jabatan Perpustakaan UMS.
Sesi itu dikendalikan Timbalan Ketua Pustakawan Kanan, Anna Michael dan turut dihadiri Ketua Pustakawan UMS, Haji Zawawi Tiyunin, barisan pengurusan tertinggi perpustakaan, pustakawan, kakitangan serta mahasiswa universiti berkenaan.
 




























