Joniston Bangkuai
KIULU: Parti Bersatu Sabah (PBS) mempunyai keupayaan untuk memikul tanggungjawab membantu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kekal kukuh dan dominan selepas keluarnya Parti STAR dan SAPP daripada gabungan itu.
Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai berkata, PBS tidak gentar dengan keputusan dua parti berkenaan untuk tidak terus bersama GRS, sambil menegaskan bahawa PBS telah melalui pelbagai cabaran politik yang jauh lebih sukar.
“Inilah demokrasi, namun dalam masa yang sama kestabilan dan perpaduan tidak boleh diketepikan, dan di sinilah PBS terus memainkan peranannya,” katanya ketika menghadiri Program Ramah Mesra Bersama Rakyat di Kampung Rungus Panansawa di sini hari ini.

Joniston meninjau kawasan sekitar jalan pertanian baharu Balabakan-Singgaron bersama penduduk kampung.
Joniston, yang juga Ketua Penerangan GRS dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu, menegaskan bahawa pengaruh PBS dalam GRS berpunca daripada konsistensi, kepimpinan berteraskan akar umbi serta pengalaman menghadapi perubahan dinamik politik negeri.
“Kita telah melalui banyak fasa perubahan, namun prinsip kita tetap sama, iaitu berkhidmat dengan dedikasi dan mengutamakan rakyat.
“PBS sentiasa menjadi tunjang kestabilan dalam GRS, memastikan gabungan ini bersama-sama dapat memenuhi harapan rakyat Sabah,” katanya sambil menambah bahawa parti itu terus memainkan peranan penting dalam memastikan GRS kekal utuh dan berwibawa dengan dasar yang berfokuskan rakyat serta bersifat realistik.
PBS merupakan salah satu daripada enam parti komponen GRS bersama Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), United Sabah National Organisation (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Liberal Democratic Party (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS).
Sementara itu, Joniston turut meluangkan masa bertemu penduduk Kampung Balabakan, di mana beliau merasmikan pembukaan jalan pertanian baharu di kampung berkenaan.
Pertanian merupakan antara fokus utama dalam pelan pembangunan Kiulu bagi memperkukuh kesejahteraan hidup dan prasarana masyarakat setempat.






















