Nizam Abu Bakar Titingan
KOTA KINABALU: Pencapaian Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor membuktikan bahawa Parti Warisanlah sebenarnya “penjual ubat”, kata Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Beliau berkata, kenyataan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal yang menuduh Hajiji “menjual ubat” hanyalah cubaan untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada kegagalan pentadbiran Warisan semasa memerintah Sabah — sesuatu yang masih segar dalam ingatan rakyat.
“Shafie boleh berkata apa sahaja, tetapi rakyat tahu siapa yang menjual janji kosong dan siapa yang bekerja dalam diam membawa hasil kepada Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Nizam, Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) bukan sekadar slogan kosong seperti yang cuba digambarkan, tetapi pelan pembangunan yang telah menunjukkan hasil nyata dalam tempoh singkat.
“Di bawah kepimpinan Hajiji, hasil negeri Sabah mencapai hampir RM7 bilion pada tahun 2024, hasil daripada reformasi fiskal dan pentadbiran baharu yang memastikan kewangan negeri diurus dengan baik. Pada masa sama, pelaburan bernilai RM11.37 bilion telah direkodkan bagi tempoh Januari hingga Jun 2025,” katanya.
Menyentuh isu bekalan air yang sering dijadikan modal politik oleh Warisan, Nizam menjelaskan bahawa Kerajaan GRS kini sedang melaksanakan 18 projek infrastruktur air di seluruh negeri, termasuk Projek Empangan Air Tawau, Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon 2 di Papar, serta Projek Naik Taraf Muka Sauk Kabang yang dijangka siap tahun hadapan.
“Semua ini adalah sebahagian daripada pelan jangka panjang bagi memastikan akses air bersih yang mampan kepada rakyat Sabah, bukannya janji ‘setahun selesai’ seperti yang pernah dicanang oleh Warisan. Usaha ini turut melibatkan pembinaan empangan baharu, pembesaran loji sedia ada dan naik taraf sistem agihan air yang telah diabaikan berpuluh tahun,” jelasnya.
Beliau turut menambah bahawa pelaksanaan pelan SMJ juga telah menyaksikan naik taraf dan pembinaan semula jalan luar bandar, membuka akses ke kawasan pedalaman serta mempercepat pembangunan ekonomi di luar bandar.
Di bawah pelan sama, Kerajaan telah menyiapkan lebih 7,000 unit Rumah Mesra SMJ untuk rakyat Sabah dan memperluas Skim Bantuan Tunai SMJ yang membantu meringankan beban rakyat berpendapatan rendah.
“Semua ini adalah hasil kerja keras kerajaan negeri yang diterajui Datuk Seri Hajiji,” katanya sambil mengingatkan bahawa ketika Warisan memerintah, pelaburan besar hanya diumumkan di atas kertas, krisis air semakin teruk dan banyak projek rakyat terbengkalai walaupun baru dua tahun mentadbir.
“GRS bukan penjual ubat. GRS sedang menyembuhkan kesan daripada pentadbiran lama yang gagal,” tegas Nizam.
“Di bawah kepimpinan Hajiji yang tenang dan berprinsip, Sabah bergerak berasaskan fakta dan hasil, bukan retorik. Rakyat tidak lagi mahu sandiwara politik lama. Mereka mahukan kerajaan yang bekerja, bukan yang hanya berjanji,” katanya.






















