KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memaklumkan bahawa penutupan sementara Blok D, Jalan Gaya akan dilaksanakan mulai 1 November hingga 1 Disember 2025 bagi memberi laluan kepada Projek Naik Taraf Permukaan Jalan Raya di kawasan berkenaan.
Dalam kenyataan di laman Facebooknya hari ini, DBKK memberitahu penutupan ini hanya melibatkan Blok D, manakala aliran trafik bagi Blok A, B dan C di sepanjang Jalan Gaya akan beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh kerja-kerja penaiktarafan dijalankan.
“DBKK menasihatkan orang ramai agar mematuhi papan tanda sementara yang akan dipasang dan sentiasa berhati-hati semasa melalui kawasan tersebut bagi mengelakkan sebarang kesulitan,” menurut kenyataan itu.
DBKK turut merakamkan penghargaan atas kerjasama dan kesabaran orang ramai sepanjang tempoh kerja dijalankan demi keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya di masa hadapan.


























