Haji Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Langkah-langkah yang diambil oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor dalam memperkukuh sektor pendidikan sebagai bukti komitmen strategik beliau terhadap pembangunan modal insan di negeri ini.
Aktivis politik, Aksyah Haji Nasrah berkata, pelbagai inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan oleh Kerajaan pimpinan Hajiji menunjukkan bahawa GRS memahami dengan mendalam kepentingan pendidikan sebagai pemangkin utama kemajuan Sabah.
Katanya, di bawah kepimpinan Hajiji, Kerajaan Negeri memberi tumpuan menyeluruh terhadap bantuan pendidikan di peringkat rendah dan menengah, termasuk memperkasa peranan Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) bagi memastikan setiap anak Sabah mendapat peluang pendidikan yang setara.
“Langkah-langkah ini jelas memperlihatkan kesungguhan Hajiji dalam membentuk generasi muda Sabah yang berilmu dan berdaya saing,” katanya.
Beliau turut menyambut baik pengiktirafan terhadap sijil Unified Examination Certificate (UEC) oleh Kerajaan Negeri yang disifatkannya sebagai langkah strategik bagi memastikan pelajar dari kalangan masyarakat Tionghua di Sabah dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi serta layak memohon biasiswa Kerajaan Negeri.
“Langkah ini mencerminkan kepimpinan Hajiji yang inklusif dan berpandangan jauh, menghargai kepelbagaian kaum serta memastikan tiada golongan tercicir dalam arus pembangunan pendidikan,” ujar Aksyah.
Beliau menegaskan bahawa pengumuman Hajiji untuk menawarkan subsidi kepada peminjam PTPTN sekiranya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus diberi mandat memerintah, merupakan satu langkah berani dan berpihak kepada rakyat.
“Lebih membanggakan lagi, beliau turut bertekad untuk memberikan pendidikan percuma di Institusi Pendidikan Tinggi milik Kerajaan Negeri, termasuk Universiti Kolej Yayasan Sabah (UCSF) — satu dasar yang benar-benar berpaksikan keprihatinan terhadap masa depan anak muda Sabah,” katanya.
Menurut Aksyah, universiti milik Kerajaan Negeri seperti UCSF berperanan penting dalam melahirkan tenaga mahir yang diperlukan industri di Sabah, khususnya dalam bidang kemahiran teknikal dan vokasional.
“Langkah-langkah strategik ini amat penting bagi memastikan Sabah memiliki modal insan berilmu dan berkemahiran, seiring tuntutan dunia pekerjaan yang semakin kompetitif,” katanya.
Beliau berkata, tidak keterlaluan jika masyarakat profesional menganugerahkan gelaran ‘Bapa Pembangunan Modal Insan Sabah’ kepada Hajiji, memandangkan keberanian serta kejelasan visi beliau dalam mengangkat sektor pendidikan sebagai keutamaan negeri.
“Namun malangnya, ada pihak yang iri hati dan menafikan sumbangan besar beliau, sedangkan mereka ketika berkuasa dahulu hanya pandai menabur janji tanpa sebarang hasil nyata,” katanya.
Menempelak dakwaan pembangkang, Aksyah berkata, GRS dan Hajiji sentiasa berpijak pada realiti serta keperluan rakyat, bukan menjual mimpi yang tidak berasas.
“Contohnya, ada pemimpin yang pernah mendakwa mampu melahirkan 50,000 jurutera dalam setahun — kenyataan yang langsung tidak realistik,” katanya.
Tambahnya, kesungguhan Hajiji jelas terbukti apabila peruntukan berbillion ringgit telah disalurkan untuk pendidikan, menjadikannya antara bajet tertinggi dalam sejarah Sabah.
“Ini menggambarkan tahap keseriusan dan keikhlasan Hajiji dalam membangunkan modal insan sebagai tonggak kemajuan negeri,” tegas beliau.
Aksyah turut menyeru ibu bapa, golongan pendidik dan para pelajar agar melihat dengan hati yang jernih segala dasar pro-rakyat yang dibawa oleh Hajiji dan GRS.
“Untuk memastikan dasar baik ini diteruskan, rakyat Sabah perlu memberikan mandat yang lebih besar kepada GRS. Ini kerana pembangunan modal insan adalah antara sektor teras dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Apabila Kerajaan Sabah ditunjangi oleh parti tempatan yang kuat seperti GRS, kita memiliki kebebasan untuk menentukan corak dan dasar yang terbaik mengikut keperluan rakyat sendiri,” katanya.
Aksyah menegaskan, inilah nikmat sebenar apabila kepimpinan negeri diterajui oleh pemimpin berwawasan seperti Hajiji yang benar-benar memahami denyut nadi rakyat dan masa depan Sabah sebagai wilayah maju, makmur dan sejahtera.
“GRS dan Hajiji terbukti bukan sekadar berjanji, tetapi bekerja dengan strategi dan hasil yang nyata demi anak-anak Sabah,” katanya.
































