Joniston bersama Farini (kiri) dan Leprus (dua dari kiri) mendengat taklimat daripada pihak kontraktor berhubung pelaksanaan fasa awal pembangunan Bangunan Urusetia Daerah Kecil Kiulu.
KIULU: Pembinaan Bangunan Urusetia Daerah Kecil Kiulu kini bermula dengan kerja-kerja penyediaan tapak dan dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun 2027.
Penyandang Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai kelmarin meninjau tapak projek tersebut dan menerima taklimat daripada pihak kontraktor berhubung pelaksanaan fasa awal pembangunan.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Kecil Kiulu, Leprus Esuva Giswa dan Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Tuaran, Farini Awang bagi meninjau status kerja tanah serta penyediaan infrastruktur asas.
Joniston berkata, pembinaan bangunan urusetia ini sudah lama dinantikan oleh penduduk Kiulu dan menjadi antara pembangunan penting bagi memperkukuh urusan pentadbiran serta perkhidmatan kerajaan di daerah kecil tersebut.
“Bangunan ini akan terus menjadi mercu tanda usaha merancakkan rancangan pembangunan di Kiulu, selain membolehkan pengurusan daerah kecil dilaksanakan dengan lebih tersusun serta mempercepat pelaksanaan pembangunan lain di kawasan ini,” katanya.
Kiulu dinaikkan taraf sebagai Daerah Kecil pada awal 2019 dan menggunakan ruang di belakang Dewan Masyarakat OKK Rampas sebagai pejabat sementara.
Joniston berkata, pembangunan urusetia menjadi sebahagian daripada perancangan menyeluruh bagi memperkasa pekan Kiulu dan kawasan sekitarnya, termasuk pembangunan infrastruktur, kemudahan awam, dan sokongan kepada ekonomi tempatan.
Dalam pada itu, Joniston turut mengadakan pertemuan bersama pemimpin akar umbi pada Selasa bagi membincangkan persiapan menghadapi pilihan raya serta menilai kemajuan pelbagai inisiatif pembangunan yang sedang dijalankan di kawasan ini.
Perbincangan turut menekankan keperluan kesinambungan dalam pelaksanaan rancangan pembangunan sedia ada bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai secara berterusan oleh penduduk Kiulu.
“Bagi kita, kesinambungan amat penting dan segala perancangan yang menbawa manfaat tidak boleh terhenti separuh jalan.
“Apa yang sudah dirancang dan sedang dilaksanakan perlu diteruskan supaya Kiulu terus melangkah ke hadapan sebagai sebuah kawasan luar bandar yang maju, tersusun, dan berdaya saing,” tegas beliau.
































