KENINGAU: Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Keningau, Encik Rafie Robert, menyampaikan sebanyak 1,700 beg penghargaan (goodies bag) kepada para petugas kesihatan sebagai tanda terima kasih atas jasa dan dedikasi mereka menjaga kebajikan serta kesihatan rakyat di daerah ini.
Sumbangan tersebut diagihkan kepada warga kerja perubatan dan pengurusan di beberapa fasiliti kesihatan termasuk Klinik Kesihatan Apin-Apin, Klinik Desa Kg. Baginda, Klinik Kesihatan Bingkor, Pejabat Kesihatan Pergigian Keningau, Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Keningau, Pejabat Kesihatan Kawasan Keningau serta Hospital Keningau.
Menurut Rafie, para petugas kesihatan merupakan tulang belakang dalam memastikan masyarakat menerima perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan selamat.
“Terima kasih diucapkan kepada para frontliners yang sentiasa bertugas tanpa jemu demi memastikan kesihatan rakyat terjaga. Komitmen kamu semua benar-benar memberi makna besar kepada masyarakat,” katanya.

Beliau menjelaskan, sebelum ini sumbangan goodies bag lebih tertumpu kepada pesakit dan pelawat. Namun kali ini, inisiatif tersebut ditujukan khas kepada warga kerja kesihatan sebagai tanda penghargaan terhadap kesungguhan dan pengorbanan mereka dalam menjalankan tugas secara berterusan.
Turut hadir dalam penyerahan itu ialah barisan kepimpinan Pemuda GRS Keningau yang sentiasa komited turun padang mendekati komuniti setempat.
Rafie menegaskan, usaha itu merupakan manifestasi sokongan Pemuda GRS terhadap wira dan wirawati kesihatan yang berkorban demi kesejahteraan rakyat.
Beliau berharap inisiatif berkenaan dapat memberikan semangat tambahan kepada seluruh petugas kesihatan untuk terus menunaikan amanah mereka dalam memastikan Keningau kekal sihat, sejahtera dan makmur.




























