KENINGAU: Daerah Keningau bakal mempunyai hab pengangkutan awam moden apabila pembinaan Terminal Bas Pengangkutan Awam Bersepadu Keningau atau Keningau Sentral diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (2026–2030) dengan pembiayaan sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Sabah.
Ketua Penyelaras Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Keningau, Rafie Robert berkata, terminal itu akan menjadi mercu tanda baharu kepada pembangunan daerah dan pemangkin kepada sistem pengangkutan awam yang lebih moden, efisien serta tersusun.
Menurutnya, terminal berkeluasan 30,000 kaki persegi itu akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk hentian berbumbung, tandas, surau, ruang niaga, 500 petak parkir dan sistem keselamatan lengkap seperti pagar serta kamera litar tertutup (CCTV).
“Keningau Sentral akan menjadi pusat tumpuan baharu bagi laluan setempat dan jarak jauh, menghubungkan Keningau dengan destinasi utama di Sabah seperti Kota Kinabalu, Tawau, Lahad Datu, Sipitang, Beaufort, Menumbok, Tambunan, Tenom, Sook, Nabawan, Ranau dan Sandakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, selain meningkatkan keselesaan dan keselamatan pengguna, projek berimpak tinggi itu juga akan membuka peluang ekonomi baharu kepada penduduk tempatan melalui kegiatan perniagaan dan keusahawanan di sekitar terminal tersebut.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor atas komitmen tinggi terhadap pembangunan daerah Keningau,” katanya.
Rafie menambah, pelaksanaan projek ini sejajar dengan usaha kerajaan untuk memperkukuh infrastruktur luar bandar serta memastikan kemudahan awam di daerah utama seperti Keningau terus dipertingkat bagi manfaat rakyat.






























