KENINGAU: Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Keningau, Rafie Robert menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga Kampung Kota Ayangan atas sokongan berterusan mereka terhadap perjuangan dan agenda pembangunan yang dibawa oleh GRS di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bingkor.
Katanya, sokongan padu rakyat terhadap GRS membuktikan kepercayaan yang tinggi terhadap usaha kerajaan negeri dalam membangunkan kawasan luar bandar secara inklusif dan berterusan.
“Saya amat menghargai kesetiaan penduduk Kampung Kota Ayangan yang memilih untuk terus bersama GRS. Sokongan ini menjadi dorongan untuk kami memperkukuh lagi usaha memastikan setiap pelan pembangunan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” katanya ketika ditemui pada program “Santai Kopi Bersama Penduduk Kampung” yang diadakan di sini.
Program santai yang dihadiri ramai penduduk kampung itu berlangsung dalam suasana penuh mesra dan kekeluargaan, mencerminkan hubungan erat antara pimpinan GRS dan masyarakat di peringkat akar umbi.
Penduduk turut mengambil kesempatan menyuarakan pandangan serta keperluan setempat, termasuk isu infrastruktur asas, peluang ekonomi, serta penyertaan belia dalam pembangunan desa.
Rafie yang juga Setiausaha Pemuda GRS Pusat menegaskan bahawa suara rakyat di peringkat akar umbi amat penting bagi memastikan setiap dasar dan pelan pembangunan negeri benar-benar menepati keperluan sebenar masyarakat.
“Pembangunan tidak boleh dirancang dari atas ke bawah semata-mata. Ia mesti berpaksikan pandangan rakyat kerana merekalah yang paling memahami realiti dan keperluan setempat,” katanya.
Beliau menyeru agar semangat kebersamaan dan perpaduan yang dizahirkan dalam program tersebut terus diperkukuh demi kemajuan DUN Bingkor dan kesejahteraan seluruh rakyat Sabah.
“Hanya dengan kesepakatan dan sokongan rakyat, kita dapat memastikan Bingkor terus maju seiring aspirasi GRS untuk membina Sabah yang makmur dan berdaya saing,” ujarnya.




























