Haji Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menyeru Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (SHAREDA) serta sektor swasta agar memainkan peranan penting dalam membentuk pembangunan Bandar Pintar di negeri ini.
“Melihat ke hadapan, pembangunan Bandar Pintar akan menjadi fokus utama bagi Sabah. Dengan dua Bandar Pintar dirancang di Penampang dan Kota Kinabalu, kita sedang melangkah ke era baharu inovasi bandar.
“Saya menggalakkan SHAREDA dan sektor swasta untuk memainkan peranan aktif dalam membentuk bandar pintar ini dengan mengintegrasikan teknologi, kelestarian serta keperluan komuniti bagi mewujudkan ruang kehidupan yang lebih pintar dan selesa untuk masa depan,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-47 SHAREDA di The Magellan Sutera Resort, di sini malam ini. Ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.

Dr. Joachim (tujuh dari kiri) bersama tetamu kehormat lain bergambar kenangan bersama penerima Anugerah Kecemerlangan SHAREDA.
Hajiji memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri akan terus memupuk persekitaran yang kondusif dan mesra perniagaan bagi menggalakkan pelaburan serta inovasi.
“Kami komited untuk memperkemas prosedur, menambah baik penyampaian perkhidmatan dan memastikan dasar kami kekal telus, adil serta menyokong keyakinan pelabur.
“Pada masa sama, penyediaan perumahan kepada rakyat kekal sebagai keutamaan. Kami akan terus bekerjasama rapat dengan sektor swasta bagi memastikan rumah mampu milik dan berkualiti dapat diakses oleh setiap rakyat Sabah, khususnya kumpulan B40 dan M40,” katanya.
Beliau turut menyambut baik tumpuan SHAREDA terhadap pembangunan lestari dan hijau yang sejajar dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Pendekatan berpandangan jauh ini memastikan pertumbuhan yang kita usahakan hari ini tidak akan menjejaskan keperluan generasi akan datang,” katanya.
Hajiji turut memuji kerjasama erat SHAREDA dengan Kerajaan Negeri serta peranannya yang berterusan dalam memajukan agenda pembangunan Sabah.
“Sektor hartanah kekal sebagai salah satu pemacu utama ekonomi negeri. Ia membawa pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.
“Ketika kita melangkah ke hadapan, pembangunan mesti kekal seimbang dan inklusif — bagi memupuk peluang, memastikan kelestarian serta memberikan nilai jangka panjang kepada semua rakyat Sabah,” katanya.




























