Shahelmey (tengah) mencuba bakat dalam permainan karom yang turut diadakan pada festival itu.
PUTATAN: Masyarakat di daerah Putatan digesa untuk menyokong setiap acara kemasyarakatan diadakan dalam memastikan komuniti terus berada di persekitaran yang sihat.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, untuk konteks itu, kesedaran dan pembabitan secara meluas perlu diterapkan di kalangan komiti selain meningkatkan ikatan ukhuwah di kalangan masyarakat itu sendiri.
“Selain membudayakan aktiviti sihat, dengan kepelbagaian acara sedia ada di daerah Putatan ini, saya berpendapat melalui sokongan daripada kelompok masyarakat itu sendiri, maka kita mampu menjadi komuniti yang cerdas, sihat dan berintelektual di masa hadapan.
“Sehubungan itu, saya berharap agar masyarakat, kelompok komuniti yang ada di Putatan ini sentiasa sokong menyokong dengan mana-mana acara kemasyarakatan, aktiviti sukan atau pertandingan yang dianjur sama ada kerajaan atau NGO, semuanya demi membudayakan aktiviti sihat,” katanya selepas perasmian Festival Sukan Taman Sri Serigai, Tanjung Keramat, di sini, hari ini.

Antara acara yang diadakan adalah pertandingan dart, karom dan futsal.
Mengulas mengenai program berkenaan, Shahelmey berkata, pihaknya berencana untuk mengadakan pertandingan dart peringkat Parlimen Putatan susulan peningkatan peminat sukan tersebut di daerah itu baru-baru ini.
“Saya mendapat feedback daripada ramai yang mana sukan dart ini semakin di sukai oleh banyak golongan masyarakat dan Putatan juga ada peminatnya tersendiri.
“Oleh yang demikian, kita akan merangka perancangan untuk menganjur pertandingan ini di peringkat Parlimen, Insyallah diusahakan, ” katanya.




























