Pandangan tepi ketika Makmal Hidup Mikro Loji Bekalan Air Bersih dalam proses pembinaan.
PITAS: Usaha Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam memperkukuh kesejahteraan komuniti luar bandar terus dizahirkan menerusi kejayaan projek Makmal Hidup Mikro Logi Rawatan Air Bersih yang kini membekalkan air bersih dan selamat kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bongkul, Pitas.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly berkata, projek berkenaan yang diketuai oleh Dr Nur Zaida Zahari dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST) dengan sokongan Dana Living Lab UMS, melibatkan pemasangan sistem rawatan air bersih berasaskan reka bentuk modular kejuruteraan yang memberi manfaat kepada kira-kira 180 pelajar asrama sekolah tersebut.
Beliau berkata, sebelum pelaksanaan projek itu, sumber air utama sekolah dilaporkan tercemar akibat sistem kumbahan lama yang tidak berfungsi sepenuhnya, mengakibatkan kandungan bakteria E. coli yang tinggi dan menyebabkan pelajar sering mengalami masalah kulit.
“Sistem yang dibangunkan ini bukan sahaja berfungsi menapis dan merawat air, malah dilengkapi teknologi pemantauan pintar berasaskan Internet Pelbagai Benda (IoT) yang membolehkan kualiti air dipantau secara langsung dari kampus induk UMS di Kota Kinabalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Audit dan lawatan penarafan Makmal Hidup Mikro Logi Rawatan Air Bersih telah diketuai oleh Prof. Madya Dr. Fatimah Ahmedy dari Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) UMS bagi menilai keberkesanan sistem rawatan serta impaknya terhadap komuniti setempat.
Dr. Rosalam berkata, kejayaan projek itu merupakan contoh terbaik bagaimana penyelidikan universiti dapat diterjemahkan kepada manfaat sebenar untuk masyarakat.
“Projek ini membuktikan bahawa hasil penyelidikan UMS tidak terhenti di makmal, tetapi sampai kepada masyarakat yang memerlukannya,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa UMS merancang untuk menambah baik sistem tersebut dengan penggunaan teknologi membran termaju, selain mengalu-alukan kerjasama serta sumbangan pihak industri dan korporat bagi menaik taraf sistem kumbahan serta tangki septik sekolah melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Menurutnya, usaha itu selaras dengan komitmen berterusan UMS dalam mendukung peranan universiti sebagai pemangkin pembangunan mampan dan kesejahteraan komuniti luar bandar di Sabah.

























