KOTA KINABALU: Sekretariat Sabah Maju Jaya (SSMJ) menafikan sekeras-kerasnya sebarang pembabitan dalam tawaran bantuan kewangan, geran atau skim khas yang sedang tular melalui aplikasi WhatsApp, mesej peribadi dan saluran tidak rasmi lain.
Dalam kenyataan hari ini, SSMJ menjelaskan bahawa pihaknya mengesan beberapa cubaan penipuan yang menggunakan nama SSMJ untuk memperdaya orang ramai dengan tawaran palsu kononnya dikeluarkan oleh sekretariat tersebut.
“Untuk makluman, SSMJ tidak pernah mengeluarkan sebarang tawaran bantuan kewangan, geran atau skim khas kepada orang awam melalui mana-mana saluran komunikasi tidak rasmi,” tegas kenyataan itu.
Menurut SSMJ, sebarang pengumuman atau tawaran rasmi hanya akan disampaikan menerusi saluran rasmi Kerajaan Negeri Sabah atau portal rasmi SSMJ.
Orang ramai juga diingatkan agar berwaspada dan tidak mudah mempercayai sebarang mesej mencurigakan yang menggunakan nama SSMJ.
SSMJ turut menasihatkan orang awam supaya tidak berkongsi maklumat peribadi atau melakukan sebarang transaksi kewangan kepada pihak tidak dikenali, serta segera membuat laporan polis sekiranya menerima mesej yang disyaki sebagai penipuan.
“SSMJ menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan maklumat sahih hanya melalui laman web rasmi Kerajaan Negeri Sabah dan platform media sosial rasmi SSMJ,” tambah kenyataan itu.
SSMJ turut berharap penjelasan tersebut dapat meningkatkan kesedaran awam dan mengelakkan orang ramai daripada menjadi mangsa taktik penipuan yang menggunakan nama Sekretariat Sabah Maju Jaya.
























