Jerry Ambuting Mohd. Said
KOTA KINABALU: Presiden Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Malaysia (Rela) Sabah, Briged Jeneral (Kehormat) Rela, Dato Jerry Ambuting Mohd. Said menyelar tindakan ahli perniagaan kontroversi Albert Tei yang memfailkan prosiding hina mahkamah terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, dengan menyifatkannya sebagai usaha terdesak mencipta persepsi negatif terhadap Kerajaan Negeri.
Menurut beliau, tindakan Tei yang cuba menggambarkan seolah-olah Ketua Menteri campur tangan dalam urusan imigresen negeri adalah tidak berasas dan bersifat manipulatif untuk kepentingan peribadi.
“Ini kuasa negeri, nak bagi dia masuk ke tidak. Lagipun itu kes mahkamah, peguam dia hadir pun dah cukup, bukan kena beri keterangan pun. Kalau nak beri keterangan sekali pun, peguam boleh mohon secara dalam talian. Tiada isu pun,” tegasnya ketika diminta mengulas laporan mengenai permohonan penghinaan mahkamah yang difailkan oleh Tei hari ini.
Jerry menjelaskan bahawa kuasa imigresen Sabah adalah hak eksklusif di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang memberi mandat kepada Kerajaan Negeri untuk mengawal keluar masuk individu ke Sabah, termasuk mereka yang berdepan tuduhan jenayah.
“Sabah ada autonomi imigresen. Kalau seseorang itu ada kes jenayah atau ada notis amaran aktif, maka pihak berkuasa negeri berhak menolak kemasukan. Itu bukan keputusan politik, tapi keputusan berasaskan undang-undang,” katanya.
Beliau menegaskan, Jabatan Imigresen Sabah sebelum ini sudah memberi penjelasan bahawa Tei dihalang masuk kerana beliau sendiri tidak menunjukkan sebarang dokumen berkaitan kesnya, malah memaklumkan datang ke Sabah untuk ‘bersiar-siar dan bertemu rakan’.
“Kalau dia sendiri cakap datang untuk berjalan-jalan, lepas itu tuduh Ketua Menteri arah halang dia masuk — itu sudah cukup menunjukkan niat sebenar dia. Sengaja mahu cipta persepsi jahat terhadap Kerajaan Negeri,” ujar beliau.
Jerry menambah, rakyat Sabah sudah semakin bijak menilai dan tidak mudah termakan dengan naratif negatif yang disebarkan oleh individu yang berdepan tuduhan rasuah seperti Albert Tei.
“Kalau benar dia mahu bersihkan nama, buatlah dalam mahkamah, bukan dengan tuduh-menuduh dalam media. Jangan heret Ketua Menteri atau Kerajaan Negeri dalam isu peribadi yang berpunca daripada tindakan sendiri,” katanya lagi.
Beliau berkata, Tei sepatutnya memberi tumpuan kepada pembelaan di mahkamah dan menghormati undang-undang negeri, bukannya mencetuskan sensasi politik untuk meraih simpati umum.
Menurut Jerry, tindakan memfailkan prosiding hina mahkamah terhadap Ketua Menteri hanyalah “strategi halus” untuk mencipta naratif seolah-olah Kerajaan Negeri menyalahgunakan kuasa menjelang perbicaraan kes rasuah yang sedang dihadapinya.
“Ini percubaan licik untuk menggambarkan kononnya Kerajaan campur tangan dalam urusan kehakiman. Padahal semua orang tahu, Ketua Menteri tidak pernah dan tidak akan mencampuri urusan mahkamah,” katanya.
Beliau turut menyifatkan cubaan itu sebagai tidak bertanggungjawab kerana boleh menjejaskan imej pentadbiran negeri dan kestabilan politik yang sedang dibina di bawah kepimpinan Hajiji.
Jerry menyeru rakyat agar tidak mudah termakan dengan dakyah yang cuba menimbulkan keraguan terhadap keikhlasan Kerajaan Negeri dalam menegakkan undang-undang dan keadilan.
“Kerajaan di bawah Hajiji berfungsi dengan baik dan mengikut lunas undang-undang. Janganlah kerana satu individu yang ada kes di mahkamah, kita biar imej negeri dicemarkan dengan tuduhan yang tak masuk akal,” katanya.
Beliau menegaskan, Sabah tidak boleh dijadikan “medan ujian persepsi politik” oleh pihak luar yang mempunyai agenda tersembunyi.
“Sabah bukan tempat untuk main politik persepsi. Kalau ada kes, hadapilah secara berani di mahkamah, bukan dengan cipta drama untuk salahkan orang lain,” katanya.
























