Aksyah Haji Nasrah
KOTA KINABALU: Rakaman podcast yang menampilkan penganalisis politik Musli Oli bersama Albert Tei sebagai cubaan terdesak untuk mencemar nama baik Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor dan Kerajaan Negeri yang dipimpinnya.
Aktivis politik pro-Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aksyah Haji Nasrah menyifatkan tindakan Musli menggunakan individu seperti Albert Tei — yang pernah dikaitkan dengan kes rasuah dan penipuan — jelas menggambarkan ketandusan prinsip serta kehausan perhatian politik.
“Saya hairan bagaimana Musli Oli tergamak menggunapakai individu berstatus scammer yang berniat meranapkan wilayahnya sendiri. Ini bukan tindakan berani, tetapi langkah paling terdesak — menggunakan bekas penjenayah dan penjarah yang gagal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aksyah secara sinis menyifatkan Albert Tei sebagai “senjata palsu” yang tidak memberi kesan kepada sasaran, malah memalukan mereka yang cuba memanipulasinya untuk agenda tertentu.
“Albert Tei ini ibarat pistol air — tembak pun tiada kesan. Semakin digunakan, semakin memalukan si penggunanya. Realitinya, apa yang dia cuba bawa hanya menonjolkan kelemahan dan kebodohan politik pihak yang memberi ruang kepadanya,” katanya.
Mengulas dakwaan dalam podcast berkenaan yang cuba mengaitkan Hajiji dengan Albert Tei, Aksyah menjelaskan bahawa sebagai Ketua Menteri, adalah perkara biasa bagi beliau berjumpa ramai pihak termasuk individu berkenaan dalam kapasiti rasmi.
“Sehingga kini, Hajiji tidak pernah keluarkan kenyataan menafikan pernah berjumpa dengan Albert Tei. Hanya Albert dalam podcast itu yang berapi-api mendakwa Hajiji pernah berkata tidak mengenalinya. Itu hanya rekaan yang tidak masuk akal,” ujarnya.
Katanya lagi, Hajiji bukan pemimpin yang mudah tertipu dengan watak seperti Albert Tei yang cuba menyamar sebagai penderma politik.
“Sekilas ikan di air, sudah dikenal jantan betina. Inikan pula Albert Tei. Wajah pun sudah cukup menunjukkan siapa penipu. Hajiji tahu niat sebenar individu seperti ini dan tidak pernah terperangkap dengan janji manis atau sumbangan berunsur rasuah,” katanya.
Aksyah menegaskan bahawa Hajiji ialah penyelamat kepada Sabah daripada tangan-tangan yang mahu menjarah kekayaan negeri atas nama pelaburan palsu.
“Hakikatnya, Hajiji adalah penyelamat Sabah daripada penyamun seperti Albert Tei. Walaupun Albert cuba menabur wang kononnya untuk bantu politik ADUN-ADUN, Ketua Menteri tetap teguh dengan prinsip amanah, menolak segala bentuk sogokan dan meletakkan kepentingan Sabah melebihi segalanya,” tegasnya.
Beliau menyifatkan keseluruhan kandungan podcast itu tidak lebih sekadar sandiwara yang mendedahkan kebodohan politik dua individu berkenaan.
“Podcast itu hanya menunjukkan kebodohan Albert Tei dan Musli Oli. ADUN yang disebut dalam kes tersebut pun bukan pemutus dasar atau terlibat dalam organisasi Syarikat SMM yang disebut-sebut. Fitnah seperti ini hanya mengundang aib kepada mereka sendiri,” katanya.
Aksyah turut menegaskan bahawa keterangan di mahkamah sudah membuktikan siapa sebenarnya penabur wang.
“Albert Tei sendiri tidak mengaku bersalah sebagai pemberi rasuah, manakala dua ADUN terbabit juga konsisten tidak mengaku bersalah kerana jelas wang yang diberi itu kononnya untuk ‘membantu politik’. Ini pengakuan yang membongkar niat sebenar Albert,” ujarnya.
Aksyah dalam nada tegas turut menggesa Musli Oli menghentikan tindakan memfitnah dan segera bertaubat daripada terus memanipulasi isu politik untuk kepentingan peribadi.
“Perbuatan kamu sudah jatuh fitnah terhadap pemimpin yang sesen duit pun tidak pernah menerima wang dari Albert Tei. Kamu sudah lari dari landasan hidup yang sebenar. Hidup ini sementara, tetapi kaffarah itu berlaku sebelum mati dan tetap akan dipersoalkan di Hari Pembalasan,” katanya.