Shahelmey Yahya
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Madani atas komitmen memperuntukkan RM6.9 bilion dalam Belanjawan 2026 bagi menjayakan agenda pembangunan di Sabah.
Beliau berkata, peruntukan besar itu menggambarkan keprihatinan Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan pembangunan Sabah terus diperkasakan selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.
“Diharapkan, menerusi penyediaan saiz peruntukan pembangunan sebegitu, agenda-agenda pembangunan negeri Sabah akan terus ditingkatkan,” katanya ketika membahaskan untuk menyokong Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di Dewan Undangan Negeri di Dewan Rakyat hari ini.
Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah turut memfokuskan perbahasannya kepada sektor kesihatan awam, khususnya keberkesanan pelaksanaan kenaikan duti eksais terhadap produk berkaitan rokok.
Menurutnya, hasil daripada pelaksanaan cukai itu perlu diurus dengan berkesan supaya setiap sen yang dikutip dapat dimanfaatkan secara berfokus untuk menjayakan reformasi sektor kesihatan awam di seluruh negara, termasuk di Sabah.
“Reformasi ini perlu memberi tumpuan kepada tiga aspek utama iaitu keberkesanan penyampaian perkhidmatan, ketersediaan kakitangan barisan hadapan serta kemajuan infrastruktur,” ujarnya.
Beliau menegaskan, rakyat luar bandar Sabah masih berdepan kesukaran mendapatkan rawatan segera berikutan kekurangan tenaga kerja kesihatan di lapangan.
“Masalah ketidakcukupan kakitangan barisan hadapan menjadi antara cabaran utama dalam memastikan rakyat luar bandar mendapat akses kesihatan yang adil dan menyeluruh,” katanya.
Dalam pada itu, Shahelmey turut menekankan keperluan penelitian Kerajaan terhadap aspek kemudahan asas dalam pelaksanaan projek pembangunan, termasuk cadangan pembinaan kolej vokasional dan tiga buah sekolah baharu di Sabah seperti diumumkan dalam Belanjawan 2026.
“Perancangan ini memerlukan kajian kebolehlaksanaan bagi memastikan infrastruktur asas seperti bekalan air bersih dapat diselaraskan mengikut spesifikasi projek,” jelasnya.
Beliau juga menegaskan kepentingan penyelenggaraan jalan raya Persekutuan di Sabah agar dilaksanakan dengan sempurna, selain keperluan penggunaan teknologi terkini yang mampu menjamin ketahanan jangka panjang turapan jalan.
“Kementerian Kerja Raya perlu meneliti keperluan kewangan dan teknikal yang mendesak bagi memastikan setiap projek penyenggaraan dapat disiapkan mengikut jadual,” tambahnya.
Selain itu, beliau turut mencadangkan agar peruntukan tambahan disediakan bagi kerja-kerja penyediaan dan baik pulih lampu jalan di jalan raya Persekutuan di seluruh negeri.
Shahelmey berkata, jurang pembangunan infrastruktur di Sabah masih ketara berbanding Semenanjung Malaysia dan usaha berterusan bagi memperkukuh kemudahan asas perlu diteruskan agar kemajuan antara wilayah menjadi lebih seimbang.
“Usaha berterusan dalam penyediaan peruntukan yang lebih besar bagi pembangunan infrastruktur di Sabah akan terus diperjuangkan untuk memacu pertumbuhan kemajuan yang setara di antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung,” katanya.
Beliau turut merakam penghargaan kepada Kerajaan Madani kerana terus memberi perhatian terhadap isu pemberian khas kepada Sabah sejak 2023.
“Walaupun jumlah pemberian khas itu masih bersifat interim, saya berharap agar Kerajaan Persekutuan akan terus berunding dengan Kerajaan Sabah dan memuktamadkan tuntutan 40 peratus hasil seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu baru-baru ini,” katanya.