Fredolin (tengah, tiga dari kiri) bergambar bersama ahli PBS Inanam.
KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Inanam menegaskan bahawa barisan kepimpinannya kekal utuh dan tidak terjejas susulan tindakan Ahli Majlis Tertinggi PBS, Datuk William Majimbun, yang juga bekas Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N.18 Inanam menyertai Parti Warisan.
Ketua Bahagian PBS Inanam, Fredolin Totin Bangon berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat bahagian yang diadakan semalam, di mana seluruh ahli dan kepimpinan bahagian sebulat suara menegaskan komitmen mereka untuk terus bersatu serta memberi tumpuan sepenuhnya kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan datang.
“Keputusan Datuk William tidak sama sekali melemahkan semangat ahli dan penyokong PBS di Inanam. Sebaliknya, ia menguatkan tekad kami untuk terus memperjuangkan prinsip dan perjuangan parti yang berteraskan keikhlasan, kestabilan, serta kepentingan rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fredolin berkata, PBS Inanam kekal konsisten dengan pendirian untuk berdiri teguh di bawah kepimpinan parti dan memainkan peranan aktif bagi memastikan kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN17 nanti.
“Kami akan terus bergerak sebagai satu pasukan bagi memastikan kestabilan politik negeri serta masa depan rakyat Sabah terus terpelihara,” tambahnya.