Aksyah Haji Nasrah
KOTA KINABALU: Aktivis Politik Pro-GRS, Aksyah Haji Nasrah menyifatkan langkah Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk merayu keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan tuntutan 40 peratus hasil negeri sebagai tindakan yang menafikan kedudukan Sabah sebagai rakan kongsi dalam pembentukan Malaysia.
Menurut beliau, keputusan Mahkamah Tinggi yang memihak kepada Sabah Law Society (SLS) baru-baru ini jelas sejajar dengan semangat dan roh Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta prinsip pembahagian hasil yang telah termaktub ketika Sabah bersetuju menyertai Persekutuan Malaysia.
“Sekiranya AGC bertindak merayu kes ini, tindakan itu umpama menafikan Sabah sebagai rakan kongsi Malaysia yang turut banyak menyumbang hasil di peringkat Persekutuan sejak 1963,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aksyah menegaskan, AGC sepatutnya menghormati keputusan Mahkamah Tinggi dan tidak meneruskan sebarang langkah rayuan yang hanya akan mencetuskan kekecewaan rakyat Sabah.
Beliau turut memuji keputusan berani Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick yang menyuarakan pendirian supaya AGC tidak merayu keputusan tersebut.
“Saya terharu dan menyokong penuh pengumuman serta keputusan berani Datuk Ewon berhubung perkara ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Aksyah menegaskan Sabah sememangnya layak dibayar semula jumlah hasil tertunggak yang belum disalurkan selama hampir 48 tahun.
Beliau berkata, hasil bumi Sabah menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negara, dan sudah tiba masanya Kerajaan Persekutuan menunaikan tanggungjawab kewangan yang termaktub dalam MA63.
“Perlu diingat, sumbangan hasil bumi Sabah amat banyak terhadap negara ini. Justeru itu, jumlah tertunggak tuntutan 40 peratus hasil Sabah sebagaimana terkandung di dalam Perjanjian Malaysia 1963 perlu dibayar sesegera yang mungkin,” tegasnya.
Aksyah menambah, pembayaran semula tuntutan itu bukan sahaja akan mengembalikan keadilan fiskal kepada Sabah, malah akan mempercepat pembangunan negeri agar setanding dengan Sarawak dan Semenanjung.
“Dengan pembayaran semula tunggakan itu, Sabah akan mampu dimajukan setanding dengan rakan kongsi Sarawak dan Semenanjung Tanah Melayu,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa respon positif rakyat Sabah terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu harus dijadikan petunjuk jelas kepada Kerajaan Persekutuan.
“Respon rakyat Sabah yang amat positif terhadap perkembangan ini wajib diambil kira sebagai tanda hormat dan pengiktirafan sebenar kewujudan Sabah sebagai rakan kongsi yang membentuk negara ini,” katanya.