KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menyeru seluruh jentera Gabungan Rakyat Sabah (GRS) agar turun ke lapangan dengan semangat baharu dan tekad tinggi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17).
Beliau berkata, dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan pelancaran rasmi Jentera Pilihan Raya GRS, perjuangan untuk mempertahankan kestabilan dan kemajuan negeri kini bermula semula.
“Inilah masanya untuk kita turun padang dengan semangat #RumahKitaKitaJaga, kerana Sabah ini rumah kita dan tanggungjawab bersama untuk menjaganya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nizam Abu Bakar Titingan
Nizam menegaskan bahawa mesej utama GRS kali ini ialah #KitaJagaSabah, sebagai simbol tekad memastikan Sabah terus stabil, maju dan bersatu di bawah panji gabungan itu.
“Empat teras perjuangan – #SabahFirst, #SabahForward, #SabahProsper dan #SabahUnited – mesti kita hidupkan dalam setiap langkah perjuangan, dari rumah ke rumah, dari hati ke hati rakyat,” ujarnya.
Beliau turut memperkenalkan semangat baharu #SabahTanahAirku sebagai lambang cinta dan kesetiaan rakyat terhadap negeri Sabah.
“Ini bukan sekadar slogan, tetapi tanda cinta dan kesetiaan kita kepada bumi Sabah. Ayuh sahabat semua, kita gerakkan jentera dengan semangat yang sama seperti dulu,” katanya lagi.
Nizam turut menggesa agar setiap jentera dan penyokong GRS menggunakan tanda pagar rasmi seperti #RumahKitaKitaJaga, #KitaJagaSabah, #SabahTanahAirku dan #GRS dalam setiap hantaran media sosial bagi memperkukuh mesej perjuangan gabungan itu menjelang pilihan raya.