KOTA KINABALU: Kehadiran luar biasa ribuan jentera pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kelmarin membuktikan rakyat Sabah semakin matang dan yakin terhadap kepimpinan parti tempatan.
Menurut aktivis politik Pro-GRS, Aksyah Haji Nasrah menegaskan, sambutan yang menggalakkan itu memperlihatkan keyakinan bahawa GRS kini menjadi tunjang kestabilan politik Sabah serta simbol kesedaran baharu rakyat untuk terus mempertahankan pemerintahan berteraskan identiti dan acuan tempatan.
“Ribuan jentera yang turun ke majlis itu bukan sekadar tanda sokongan, tetapi manifestasi kebangkitan rakyat Sabah yang mahu negeri ini diterajui oleh parti dan pemimpin tempatan. Ini bukti kesedaran dan keinsafan politik yang sebenar, bahawa rakyat Sabah perlu berpayung di bawah satu parti tunjang bersosok tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aksyah Haji Nasrah
Aksyah berkata, pimpinan Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor melalui dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) telah membina rangka pembangunan kukuh yang perlu diteruskan untuk memastikan kemakmuran negeri kekal berpanjangan.
“Hajiji menggagaskan hala tuju yang jelas — membangunkan Sabah mengikut acuan sendiri. Menukar kerajaan di saat ini hanya akan mengganggu kesinambungan dasar yang sedang membuahkan hasil,” tegasnya.
Katanya, rakyat kini menikmati perubahan positif hasil keikhlasan dan komitmen Kerajaan Negeri di bawah GRS dalam memperkasa pentadbiran, ekonomi dan kebajikan rakyat.
Mengulas lanjut, Aksyah menegaskan bahawa kekuatan politik tempatan yang dibawa oleh GRS bukan bermakna menjauhkan diri daripada Kerajaan Persekutuan, sebaliknya bertujuan memperkukuh kerjasama yang lebih seimbang dan berprinsip.
“GRS membina jambatan, bukan dinding pemisah. Hubungan Sabah dan Kerajaan Persekutuan semakin kukuh di bawah kepimpinan Hajiji, kerana ia berasaskan saling menghormati dan memperjuangkan hak negeri,” katanya.
Aksyah turut menyokong pesanan Hajiji agar rakyat tidak mudah dipengaruhi janji kosong dan retorik politik pembangkang yang hanya pandai berjanji tetapi gagal menunaikan tanggungjawab apabila diberi kuasa.
“Rakyat perlu matang dan berani menolak politik jual kata manis ibarat menjual ubat tetapi penyakit tidak sembuh. Kita sudah lihat rekod mereka sebelum ini — janji tidak tertunai, masalah pula diwariskan kepada kerajaan sekarang,” ujarnya.
Dalam pada itu, Aksyah memuji keteguhan semangat Hajiji yang tetap fokus bekerja meskipun sering berdepan pelbagai tohmahan dan percubaan menjatuhkan beliau.
“Beliau pemimpin berprinsip, berorientasikan hasil, bukan retorik. Prinsipnya mudah — bekerja terus untuk rakyat. Hasil yang dicapai hari ini membuktikan Sabah berada di landasan yang betul di bawah GRS,” katanya.
Menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah, Aksyah menyeru semua jentera GRS supaya memperkukuh kesediaan dan kekal bersatu menghadapi cabaran politik dengan semangat tinggi.
“Seperti kata Abraham Lincoln, ‘Pertajamkan kapakmu sebelum menebang kayu’. Ia bermaksud setiap jentera perlu bersiap siaga dengan strategi yang rapi sebelum bertempur di medan pilihan raya,” katanya.
Beliau menegaskan, kemenangan hanya akan dicapai jika semua anggota parti kekal berpegang pada semangat ‘Tetap Teguh, Tetap Setia, Tetap Bersama’ demi mempertahankan Sabah daripada kembali ke tangan pihak luar yang hanya pandai menabur janji.