Dr. Joachim (dua dari kiri) menerima dokumen bagi keahlian baru daripada Nazrul.
KUNDASANG: Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menegaskan komitmen Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk terus membangunkan golongan belia sebagai teras kepada kemajuan masa depan negeri selaras dengan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Beliau berkata, pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan ke arah memperkasakan pembangunan modal insan agar belia Sabah terus ke hadapan dalam pelbagai bidang.
“Pelbagai inisiatif telah dibuat demi membawa belia terus ke hadapan selaras dengan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
“Ini dapat dilihat dalam pemberian bantuan pendidikan negeri Sabah yang merangkumi pelbagai bentuk seperti biasiswa, derma siswa, tabung pendidikan, peralatan dan bantuan tunai,” katanya ketika menyantuni golongan belia Kampung Dumpiring Bawah, di sini, pada Jumaat.
Dr. Joachim yang juga Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata, secara keseluruhannya bantuan pendidikan tersebut bertujuan meningkatkan kualiti pendidikan di Sabah serta memastikan lebih ramai anak negeri dapat melanjutkan pelajaran tanpa halangan dan beban kewangan.

Dr Joachim (enam dari kiri) menerima borang keahlian baru dari Kampung Patau.
Pada majlis itu, beliau turut menerima borang keahlian baharu PBS yang diserahkan oleh Nazrul Mohamin dan mengalu-alukan kemasukan mereka ke dalam parti.
Dr. Joachim berkata, selain aspek pendidikan, Kerajaan GRS turut memberi perhatian kepada kesejahteraan sosial belia termasuk melalui program perumahan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi pasangan muda yang baru berkahwin.
Untuk tujuan tersebut, Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor baru-baru ini mengumumkan tambahan 10 unit Rumah Mesra SMJ di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula tahun depan, menjadikan keseluruhan 50 unit di setiap DUN berbanding 40 unit tahun ini.
“Langkah ini menunjukkan keprihatinan Kerajaan GRS terhadap keperluan belia, khususnya pasangan muda yang ingin membina kehidupan sendiri,” katanya.
Sehubungan itu, Dr. Joachim menegaskan kesediaannya untuk meneruskan agenda pembangunan sedia ada serta memperhebat usaha pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 bagi memastikan kemakmuran rakyat di Kundasang terus terjamin.
Turut hadir Ketua Pemuda PBS Kundasang, Khairol Majide Kalimin serta pemimpin tempatan setempat.
Selain di Kampung Dumpiring Bawah, Dr. Joachim turut menerima keahlian baharu PBS daripada penduduk Kampung Patau.