KIULU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menyeru semua ahlinya supaya kekal fokus dan tidak terpengaruh dengan tuduhan bermotif politik yang bertujuan menjejaskan kepimpinan parti.
Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai berkata, para pemimpin akar umbi dan ahli parti perlu terus bersatu dan komited ketika Sabah bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Negeri pada 29 November ini.
Beliau berkata, tuduhan rasuah yang dikaitkan dengan Pemangku Presiden, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Jahid Jahim baru-baru ini dilihat sebagai usaha pihak tertentu untuk mencetuskan gangguan menjelang pilihan raya.
“Pemangku Presiden dan Timbalan Presiden kita telah memberikan penjelasan berhubung perkara itu, dan saya percaya para pemimpin di semua peringkat serta ahli dan penyokong masih teguh berdiri di belakang parti.
“Kita melihat tuduhan (rasuah) ini sebagai agenda bermotif politik untuk melemahkan parti, dan kita tidak harus terpesong oleh perkara sebegini,” katanya pada majlis ramah mesra bersama rakyat di Kampung Bambangan Lama, di sini, hari ini.

Joniston Bangkuai
Joniston yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu berkata, PBS terus berpegang kepada nilai kebertanggungjawaban, kejujuran dan ketelusan dalam perjuangan politiknya.
“Walaupun ada pihak cuba menjadikan isu ini sebagai senjata politik, PBS akan terus memberi tumpuan kepada perkara yang lebih penting — berkhidmat kepada rakyat dan membina kepercayaan mereka,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa PBS mengambil serius soal kepercayaan rakyat, kerana keyakinan itu perlu dibina melalui tindakan yang berterusan berasaskan integriti, khidmat dan akauntabiliti.
Joniston turut menggesa ahli dan penyokong PBS supaya terus bersatu, berdisiplin dan fokus menjelang pilihan raya, sambil memberi jaminan bahawa parti itu komited memainkan peranan penting dalam memastikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mendapat mandat rakyat untuk terus mentadbir negeri.
Katanya, PBS akan terus memperjuangkan kebajikan rakyat dan memastikan pembangunan serta peluang sampai ke setiap pelusuk Sabah di bawah pentadbiran GRS.
“Kita percaya rakyat akan menilai GRS berdasarkan rekod pencapaiannya yang terbukti, bukan berdasarkan fitnah yang disebarkan oleh pihak pembangkang.
“Fakta dan angka tidak menipu. Di bawah GRS, Sabah mencatatkan hasil dan rizab tertinggi dalam sejarah — bukti jelas pengurusan yang bertanggungjawab dan kepimpinan yang berwibawa.
“Ini adalah fakta yang boleh disahkan dengan mudah oleh pihak berkuasa dan agensi berkaitan,” tegas Joniston yang juga Ketua Penerangan GRS.