Azizah bersama barisan Wanita GRS semasa Mesyuarat Wanita GRS di SICC hari ini.
KOTA KINABALU: Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Azizah Mohd. Dun menegaskan bahawa jentera wanita parti kini berada pada tahap kesiapsiagaan penuh bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17) yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Beliau berkata, 28,000 jentera wanita GRS di peringkat bahagian dan cawangan telah digerakkan lebih awal bagi memastikan persiapan logistik, strategi serta gerak kerja kempen dilaksanakan secara tersusun dan menyeluruh di seluruh negeri.
“Wanita GRS bukan sahaja bersedia dari segi tenaga dan organisasi, malah bersemangat tinggi untuk memastikan kemenangan gabungan ini terus terpelihara.
“Kita mahu suara wanita Sabah terus menjadi tulang belakang kepada kestabilan politik negeri,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.
Azizah turut menegaskan bahawa peranan wanita dalam GRS bukan sekadar penyokong, tetapi turut memainkan peranan penting dalam merangka strategi komunikasi, pengurusan data pengundi serta mendekati pengundi muda dan wanita luar bandar.
“Kita mahu wanita tampil sebagai ejen penyatu dan penerang kepada dasar-dasar kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
“Wanita GRS akan memastikan mesej pembangunan dan kestabilan politik sampai ke akar umbi,” ujarnya.
Menurut beliau, Wanita GRS juga telah melaksanakan pelbagai program latihan, bengkel kepimpinan serta sesi pemantapan jentera pilihan raya bagi memastikan setiap anggota wanita memahami peranan masing-masing menjelang PRN nanti.
Azizah turut mengajak seluruh ahli wanita GRS untuk terus bekerja dalam semangat muafakat dan disiplin tinggi, serta menolak sebarang bentuk fitnah atau propaganda yang boleh menggugat perpaduan gabungan tersebut.
“Kekuatan GRS terletak pada kesatuan dan keikhlasan kita berkhidmat untuk rakyat Sabah. Inilah masa untuk kita tunjukkan kesetiaan dan kebersamaan dalam memastikan mandat rakyat terus kekal bersama GRS,” katanya.
Beliau turut yakin bahawa dengan kesiapsiagaan jentera wanita dan sokongan padu rakyat, GRS akan terus menjadi pilihan utama dalam memastikan kestabilan dan kemajuan negeri terjamin.