Hajiji bersama presiden dan pemimpin parti komponen GRS pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya GRS.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menyeru seluruh jentera parti menggandakan usaha dengan turun ke setiap rumah bagi mendekati dan menyantuni rakyat di semua peringkat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 bulan depan.
Beliau menegaskan bahawa kemenangan tidak akan datang tanpa kerja keras, kesungguhan dan kerjasama padu seluruh jentera parti daripada peringkat negeri hingga ke akar umbi.
“Jangan ada yang leka, jangan merasa cukup dengan apa yang telah kita capai. Setiap seorang daripada kita adalah barisan hadapan perjuangan ini,” katanya ketika berucap melancarkan Jentera Pilihan Raya GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Menurutnya, setiap kawasan, kampung dan taman perumahan perlu dijadikan medan perjuangan bagi memastikan mesej serta aspirasi GRS sampai kepada setiap pengundi.
“Setiap kediaman wajar dikunjungi, setiap pengundi wajib dikenalpasti dan didekati, dan setiap hati mesti disantuni,” tegasnya.
Hajiji turut mengingatkan jentera GRS agar tidak berputus asa atau mudah menyerah kalah, sebaliknya terus berjuang dengan semangat tinggi serta tekad yang tidak tergoyah.
“Patah galah bertongkat kaki, patah kaki bertongkat lutut, patah lutut bertongkat siku, patah siku bertongkat kuku — namun menyerah kalah tidak sekali!” katanya.
Beliau berkata, perjuangan GRS mesti diteruskan dengan iltizam dan disiplin tinggi bagi memastikan Sabah terus ditadbir oleh kerajaan yang stabil dan berwibawa.
“Kemenangan dan kejayaan tidak datang bergolek. Ia hanya akan tercapai dengan kerja keras, niat yang ikhlas dan tindakan berpasukan,” ujarnya.
Menurutnya, kekuatan GRS bukan sahaja terletak pada dasar dan pencapaiannya, tetapi juga pada semangat juang serta kesetiaan para pendukung di seluruh negeri.
“Gunung yang tinggi tetap kita daki, lautan yang dalam tetap kita renangi. Tiada istilah putus asa atau tunduk menyerah dalam kamus perjuangan GRS,” katanya.
Hajiji menambah, pilihan raya kali ini bukan sekadar soal mendapatkan mandat baharu, tetapi perjuangan mempertahankan masa depan Sabah agar terus maju di bawah pimpinan GRS.
“Sudah tiba masanya untuk kita turun ke gelanggang perjuangan dengan semangat membara dan keyakinan yang tidak tergoyah demi memperjuangkan nasib rakyat serta masa depan negeri tercinta,” katanya.